WAN Hashimi (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Sime Darby, Gerard Yuen (kiri) serta Pengasas dto, Tee Ee Lynn (kanan) dan Marie Leong pada pelancaran platform dto, semalam.
WAN Hashimi (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Sime Darby, Gerard Yuen (kiri) serta Pengasas dto, Tee Ee Lynn (kanan) dan Marie Leong pada pelancaran platform dto, semalam.
Nurhayati Abllah


SIME Darby Property Bhd memperkenalkan inovasi terbaharu, dto (determine the outcome) sebagai platform dalam talian yang dibangunkan bagi mentransformasikan pembelian hartanah pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Hashimi Albakri berkata, pihaknya memperuntukkan dana RM3 juta bagi membangunkan platform itu yang juga pertama seumpamanya di Malaysia.

“dto adalah produk terbaharu yang membolehkan pelanggan berpotensi melaksanakan proses undian bagi konsep pembangunan, rekaan dan kemudahan yang mereka ingini.

“Platform berkenaan dilaksanakan berdasarkan penciptaan bersama (co-creation) dan penyumberan orang ramai (crowdsourcing) yang dijangka bakal mengubah corak pembelian hartanah pada masa depan,” katanya pada pelancaran platform dto di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Wan Hashimi berkata, dto memberi penekanan dalam membimbing pelanggan membuat pemilihan kediaman terbaik untuk mereka.

“Pembelian hartanah adalah suatu keputusan pelaburan utama bagi pengguna. Justeru, semua pilihan dibuat menerusi platform dto adalah melangkaui proses pemeriksaan dalaman yang ketat sebelum dikemukakan kepada pelanggan,” katanya.

Menurutnya, menerusi pengenalan dto ia memberi jaminan jualan bagi setiap projek hartanah dibangunkan syarikat pada masa depan seterusnya menaikkan hasil syarikat.

Pada masa ini, Sime Darby Property menyenaraikan dua projek menerusi platform dto iaitu pembangunan bertingkat pegangan kekal di Subang Jaya yang dijangka dilancar Ogos ini dan Putra Height yang dijadual dilancarkan awal 2020.

Difahamkan, Sime Darby Property juga dijangka menggunakan inovasi itu bagi projek kediaman atas tanah tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 10:50 AM