PUSAT Ilmuan Hutan Hujan Tropika Elmina  atau ERKC terletak di kawasan seluas 0.44 hektar di perbandaran City of Elmina, Shah Alam, Selangor.
PUSAT Ilmuan Hutan Hujan Tropika Elmina atau ERKC terletak di kawasan seluas 0.44 hektar di perbandaran City of Elmina, Shah Alam, Selangor.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SIME Darby Property Berhad melancarkan Pusat Ilmuan Hutan Hujan Tropika Elmina (ERKC) bagi meneruskan agenda biodiversiti.

ERKC yang turut dikenali sebagai 'Ambang Warisan Semulajadi Malaysia' itu terletak di kawasan seluas 0.44 hektar di perbandaran City of Elmina, Shah Alam, Selangor.

Ia berperanan melaksanakan amalan biodiversiti syarikat itu selain memberi tumpuan kepada usaha pemuliharaan alam, penyelidikan dan pembangunan, pendidikan alam sekitar serta eko pelancongan, di samping inisiatif hijau yang lain.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, pihaknya menitikberatkan pembangunan dan amalan mampan di semua perbandarannya.

Kata Azmir, selain pelan tindakan perubahan iklim, amalan biodiversiti cemerlang adalah penting untuk sesebuah organisasi dalam merencana pelan kesinambungan jangka masa panjang yang lebih khusus untuk memberi impak positif kepada alam sekitar.

"Kami menekankan biodiversiti sebagai salah satu daripada empat imperatif utama di dalam strategi kemampanan syarikat.

"Untuk itu, kami akan melaksanakan pelbagai usaha, inisiatif dan program bagi meningkatkan nilai di perbandaran-perbandaran kami serta aktiviti untuk memelihara ekosistem dan kelestarian alam semula jadi.

"ERKC antara usaha utama syarikat dalam merealisasikan aspirasi berkenaan," katanya.

Majlis perasmian ERKC disempurnakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada majlis yang diadakan baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim.

Dalam pada itu, Sime Darby Property sebelum ini turut bekerjasama dengan Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC) untuk membangunkan ERKC serta Elmina Living Collection Nursery (ELCN) seluas 4.04 hektar.

SULTAN Selangor berkenan berangkat merasmikan ERKC.
SULTAN Selangor berkenan berangkat merasmikan ERKC.

Nurseri itu adalah khas sebagai stor genetik bagi penghasilan dan pemuliharaan spesies-spesies pokok yang dikategorikan sebagai hampir pupus, jarang dan terancam oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN).

Sejak mula beroperasi pada Oktober 2020, TRCRC berjaya membesarkan 187 spesis tumbuhan, dengan lebih daripada 35,000 benih disemai serta 10,000 anak pokok distor di kawasan simpanannya.

Sejak tahun 2011, syarikat itu juga menanam lebih daripada 120,000 pokok di perbandarannya dalam usaha mengurangkan kesan perubahan iklim.

Untuk memperkasakan lagi usaha itu, syarikat berkenaan juga berikrar untuk menanam 50,000 pokok terancam yang disenarai merah oleh IUCN menjelang tahun 2030.

Sehingga tahun lepas, lebih daripada 21,000 daripada pokok itu sudah pun ditanam di pembangunan syarikat terbabit.

Sementara itu, ERKC menyediakan ruang kepada komuniti setempat untuk membabitkan diri dalam aktiviti pembelajaran mengenai pemuliharaan alam semula jadi yang memberi impak, mendidik generasi muda, orang ramai mengenai kepentingan alam sekitar dan bertindak sebagai hab sumber serta penyelidikan untuk pertubuhan bukan kerajaan mahupun badan berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 6:17 AM