Hafiz Ithnin


"UNTUK membeli rumah, saya tidak mengikut trend, tetapi memahami keperluan diri," kata wanita berusia 32 tahun itu kepada penulis.

Malah, pemilik rumah yang terletak di Kuala Lumpur itu juga menasihatkan pembeli rumah pertama khususnya supaya mempunyai perancangan awal sebelum membuat keputusan memiliki rumah.

Jelas Fatin Athirah Mohd Anuar, dua perkara itu penting supaya dirinya dapat mengawal komitmen perbelanjaan memandangkan membeli rumah membabitkan aliran tunai yang tinggi.

Bagi Fatin membeli rumah adalah suatu keperluan, tetapi tidak bermakna ia adalah matlamat sama bagi orang lain yang mungkin lebih gemar untuk menyewa.

"Ketika ramai kawan sudah memiliki rumah sebelum berusia 30 tahun, saya masih menyewa bersama suami kerana bagi kami mengukuhkan prestasi kewangan peribadi adalah lebih penting.

"Jadi, apabila melihat orang lain sebaya saya sudah memiliki rumah lebih awal, ia tidak mempengaruhi diri saya kerana saya perlu mempunyai perancangan rapi," katanya.

Katanya, sebelum membeli hartanah itu dia juga sudah membuat tabungan walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran tempoh untuk memiliki rumah sendiri.

"Apabila sudah mula bekerja saya sudah membuat simpanan sedikit demi sedikit. Jumlahnya tidak begitu besar, tetapi perlu dipastikan setiap bulan walaupun RM50 adalah simpanan untuk rumah.

MEMPUNYAI ruang bekerja dari rumah.
MEMPUNYAI ruang bekerja dari rumah.

"Perkara ini penting kerana sebaik sahaja saya membuat tempahan memiliki rumah ini, wang yang dikeluarkan memang banyak. Mujur saya sudah mempunyai simpanan sedikit," katanya.

Ditanya mengenai faktor utama dia membeli rumah jenis apartmen itu adalah didorong lokasinya yang strategik. Terutama mudah untuk mendapatkan pengangkutan awam.

"Saya membeli rumah ini di Pantai Dalam. Seperti diketahui umum lokasi ini agak baik untuk pelaburan jangka panjang sama ada untuk dijual atau disewakan.

"Permintaan di kawasan ini sentiasa ada. Jadi, bagi saya lokasi memainkan faktor utama untuk membeli rumah sendiri. Selain itu, persekitarannya juga sudah matang dengan pelbagai kemudahan lain seperti bangunan komersial dan rangkaian lebuh raya," katanya.

SENTIASA membuat simpanan setiap bulan.
SENTIASA membuat simpanan setiap bulan.

Tambah Fatin, dia sememangnya ingin menjadikan rumah itu sebagai pelaburan pada masa depan kerana bercadang untuk membeli hartanah dalam segmen teres.

"Rumah teres bukan harga yang mampu milik sekarang ini terutama di kawasan tumpuan. Jadi, sementara mendapatkan modal untuk membeli rumah itu, saya menghuni dahulu apartmen ini.

"Bagi saya untuk membeli rumah pertama biar dalam kadar harga yang lebih murah dan tidak mencapai sehingga kadar maksimum komitmen kepada bank kerana lebihan kuota itu boleh digunakan untuk membeli rumah kedua pada masa depan," katanya.

Jelasnya, untuk tujuan itu dia juga tidak membuat renovasi yang menelan kos tinggi kerana berasakan rumah untuk pelaburan tidak seharusnya berbelanja besar dari segi hiasan dalaman.

PERABOT tidak semestinya serba baharu ketika mendapat kunci rumah baharu.
PERABOT tidak semestinya serba baharu ketika mendapat kunci rumah baharu.

"Hiasan dalaman ini sebenarnya sesuatu yang subjektif. Kita yang mengolahnya untuk menjadi selesa dan tidak semestinya membeli perabot mahal atau membuat renovasi besar-besaran.

"Jika bijak menghias menggunakan perabot terpakai yang dibaiki semula pun sudah nampak cantik dan selesa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 7:01 AM