RUMAH yang dilihat berbaloi untuk dimiliki dengan pelbagai nilai tambah yang ditawarkan pemaju.
RUMAH yang dilihat berbaloi untuk dimiliki dengan pelbagai nilai tambah yang ditawarkan pemaju.
Hafiz Ithnin


BAGI pasangan suami isteri ini memiliki rumah sendiri selepas berkahwin bukan sesuatu yang perlu dilakukan secara tergesa-gesa. Perkara paling utama yang dilihat pastinya kemampuan untuk memilikinya.

Sejak mendirikan rumah tangga pada 2017, bukan sedikit cabaran yang dilalui mereka di alam perkahwinan yang menyebabkan hasrat memiliki rumah sendiri tidak kesampaian.

"Dalam tempoh tujuh tahun kami mendirikan rumah tangga, bukan tiada impian memiliki rumah sendiri, tetapi sejujurnya tidak berkemampuan dan keadaan pekerjaan kami juga boleh dikatakan tidak stabil.

"Namun, apabila tiba masa terutama melihat kepada kadar sewaan rumah di sekitar ibu negara yang hampir sama dengan ansuran bulanan rumah sendiri, kami memutuskan membeli rumah sendiri," kata lelaki berusia 34 tahun itu.

Muhammad Firdaus Malek dan isteri, Siti Nur Aishah Mohamed, 34, membeli rumah pertama mereka pada 2021. Ketika itu, mereka berasakan keadaan pekerjaan sudah pun kukuh untuk membeli aset berkenaan.

Muhammad Firdaus berkata, selepas menandatangani perjanjian jual beli (SPA), dia berdepan situasi Pemberhentian Secara Sukarela (VSS). Ketika itu, rasa murung tidak lagi dapat disorok kerana memikirkan ansuran bulanan rumah yang mencecah RM3,000 sebulan.

"Saya hilang berat badan hampir 10 kilogram kerana tidak menduga dikenakan VSS. Jadi, dalam tempoh sebulan itu saya adalah penganggur dan isteri sahaja yang bekerja.

"Syukur selepas sebulan menjadi penganggur saya mendapat kerja dan kini hanya menunggu masa sesuai berpindah ke rumah baharu," katanya.

Jelasnya, ramai yang melihat dia dan isteri membeli rumah di luar kemampuan pada awalnya kerana rumah berkenaan mencecah RM900,000 seunit. Namun, dia dan isteri mempunyai alasan tersendiri.

"Sebelum kami memutuskan membeli rumah ini, kami semestinya membuat tinjauan di beberapa projek di Cyberjaya kerana isteri saya bekerja di kawasan ini dan ia lebih mudah serta menjimatkan masa perjalanan ke tempat kerja.

"Lapan projek yang kami lihat harga yang ditawarkan untuk sebuah studio sahaja mencecah RM500,000 dan kondominium pula melebihi harga berkenaan. Jadi, lebih baik membeli rumah yang hampir sama dengan harga sebuah kondominium di Cyberjaya, tetapi jenis teres kerana ia lebih berbaloi," katanya.

MUHAMMAD Firdaus dan isteri berdepan pelbagai cabaran membeli rumah pertama mereka.
MUHAMMAD Firdaus dan isteri berdepan pelbagai cabaran membeli rumah pertama mereka.

LANDSKAP luar rumah mempunyai konsep semula jadi.
LANDSKAP luar rumah mempunyai konsep semula jadi.

MUHAMMAD Firdaus bersama isteri bakal masuk rumah baharu pada Jun ini.
MUHAMMAD Firdaus bersama isteri bakal masuk rumah baharu pada Jun ini.

Tambahnya lagi, mereka juga mempunyai kucing yang banyak dan memerlukan rumah teres untuk haiwan peliharaan itu. Jika di rumah jenis strata mungkin ada sekatan membela haiwan berkenaan.

"Mungkin juga rezeki kerana kami ingin memberi keselesaan kepada haiwan kesayangan ini menyebabkan saya mudah mendapat kerja baharu yang tetap dalam tempoh sebulan sahaja diberhentikan," katanya.

Jelasnya lagi, antara perkara yang dititikberatkan ketika membeli rumah pertama mereka adalah saiz dan reka bentuk memandangkan rumah berkenaan mempunyai saiz 1,960 kaki persegi, dilengkapi empat bilik dan tiga bilik air.

"Selain itu, saya dan isteri turut menitikberatkan faktor persekitaran yang selamat. Projek rumah ini mempunyai pagar keselamatan dan tetamu yang berdaftar sahaja dibenarkan mengakses dalam taman perumahan ini.

"Bagi saya dan isteri apabila mendiami rumah teres ini sudah semestinya faktor keselamatan menjadi perkara paling utama. Perkara ini kerana kita tidak mahu berlaku risiko jenayah," katanya.

Tambahnya lagi, antara faktor yang menjadi tarikan untuk dia dan isteri membeli rumah itu adalah mempunyai jaringan jalan raya yang mudah untuk ke pelbagai lokasi.

"Di Cyberjaya ada banyak jaringan lebuh raya yang menghubungkan pelbagai lokasi termasuk ke pusat bandar. Selain itu, untuk ke tempat kerja juga terutama isteri hanya mengambil masa 10 minit memandu," katanya.,

Selain itu, Muhammad Firdaus berkata, rumah mereka juga mempunyai kawasan komersial yang sudah matang berbanding rumah disewanya sebelum ini. Perkara itu dilihat penting memandangkan mudah membeli barangan keperluan.

"Kemudahan lain seperti masjid juga dekat sahaja dengan rumah kami iaitu kira-kira kurang satu kilometer, jadi apabila menunaikan solat Jumaat misalnya saya boleh ke masjid dengan hanya berjalan," katanya.

Katanya, untuk membeli rumah perkara lebih penting yang dipelajarinya ialah memerlukan persediaan dari segi kewangan yang cukup dan sentiasa merancang memiliki aliran kewangan yang baik selepas membeli rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 7:00 AM