AKTIVITI pembebasan anak ikan.
AKTIVITI pembebasan anak ikan.
Yusmiza Dolah Aling


Kuala Lumpur: Amalan kitar semula menjadi fokus utama SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) yang menganjurkan Cabaran Joran 3R - pertandingan memancing di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur pada 17 Julai depan.

Ia bersempena hari ulang tahun penubuhan ke-14 Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melalui program Karnival BersamaMu.

Ketua Pegawai Eksekutif SWM Environment, Ho De Leong berkata, pertandingan ia adalah untuk memupuk kesedaran penjagaan kebersihan dan amalan kitar semula melalui inisiatif 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) agar budaya amalan pengasingan sisa di punca dan kitar semula dapat diterapkan dalam kehidupan harian terutamanya kepada kaki pancing.

"Pembudayaan yang menekankan tanggungjawab kendiri bagi memastikan keadaan persekitaran bersih dari sampah sarap dapat membantu mengekalkan kebersihan sumber air yang juga menjadi nadi kepada hidupan marin.

"Melalui Cabaran Joran 3R ini, peserta perlu membawa minimum 1 kilogram barangan kitar semula seperti kertas, tin dan botol.

"Peserta juga wajib membawa botol air dan bekas makanan sendiri serta memastikan tempat memancing mereka bersih.

"Kita menyasarkan 700 penyertaan dan pendaftaran akan dibuka pada Sabtu 16 Julai sehingga ke hari pertandingan dengan yuran penyertaan RM40 bagi setiap satu joran," katanya dalam kenyataan.

Katanya, konsep pertandingan adalah hadiah sapu bersih sebanyak RM20,000 wang tunai ditawarkan kepada pemenang serta hadiah cabutan bertuah antaranya TV LED 43 inci, mesin pancing, termasuk 500 baju untuk pendaftaran awal.

Menurutnya, Karnival Bersamamu anjuran SWCorp ini memfokuskan kepada agenda kesedaran masyarakat terhadap amalan penjagaan kebersihan bagi menjamin kesejahteraan hidup dan kelestarian alam sekitar selaras dengan Dasar Kebersihan Negara 2030.

Penganjur utama menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan larian, basikal, sukan rakyat dan lain-lain.

Selain itu, ia juga bertujuan memperkenalkan taman tasik rekreasi yang boleh dimanfaatkan warga Kuala Lumpur dengan aktiviti sihat.

Pertanyaan lanjut berkaitan pertandingan ini, orang ramai boleh menghubungi urus setia di talian 013-2661077, 013-3052811 atau 012-2846811 atau melayari laman sosial facebook.com/jorankl.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 7:19 PM