GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Sebanyak 232 tan barangan kitar semula berjaya dikumpulkan oleh murid, guru serta ibu bapa sempena program Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) 2020.

Pengarah Eksekutif SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) Dr Uzir Abdul Malik berkata, IMELC 2020 melalui Kategori Khas Usaha Bersepadu Kitar Semula (3R) merangkumi pendidikan kesedaran dan pengumpulan barangan kitar semula yang dikelolakan oleh SWM Environment.

"IMELC 2020 juga mencatatkan peningkatan kutipan barangan kitar semula berbanding tahun lalu meskipun dalam keadaan penularan wabak Covid-19," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, SWM Environment selaku rakan strategik dan penaja IMELC 2020 menyifatkan program berkenaan sebagai platform terbaik bagi membudayakan amalan kitar semula sekali gus meningkatkan kadar peratusan kitar semula kebangsaan sehingga 40 peratus menjelang 2025.

"Malah, SWM Environment juga berhasrat untuk mengembangkan pelaksanaan aktiviti kitar semula secara dalam talian dan nirtunai (tanpa tunai), KITARecycle melalui IMELC selari dengan pembudayaan norma baharu wabak Covid-19," katanya.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim berkata, bermula dengan hanya 23 sekolah pada 2013, IMELC kini memasuki tahun kelapan pelaksanaannya membabitkan 546 sekolah dan 55,000 pelajar di seluruh Johor.

Menurutnya, IMELC adalah inisiatif dalam Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Malaysia (LCSBPIM 2025).

"Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran gaya hidup masyarakat rendah karbon dalam kalangan pelajar, guru dan ibu bapa yang mana seterusnya akan memberi impak positif kepada perubahan iklim yang berlaku.

"Ini membolehkan Iskandar Malaysia mengimbangi pembangunan ekonomi yang pesat dengan pembangunan sosial dan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar untuk cara hidup yang lebih seimbang kepada rakyat di wilayah ini," katanya.

IMELC 2020 dalam norma baharu direka khas dengan format atas talian kepada sekolah melalui taklimat di saluran media sosial Facebook Live@RCE Iskandar yang mencapai tontonan lebih 4,000 orang.

Selain misi merealisasikan Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Negeri Johor, hadiah wang tunai terkumpul RM23,000 juga antara motivasi bagi sekolah menjayakan IMELC tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 5:23 PM