GAYA ringkas ruang tamu rumah yang didiami.
GAYA ringkas ruang tamu rumah yang didiami.
Hafiz Ithnin


"APABILA sudah mempunyai peluang jangan tangguh untuk membeli rumah. Harga tidak akan pernah turun," akui pasangan suami isteri ini.

Bagi Karina Imran, 32, dan suaminya, Nik Nurfaqih Nik Wil, 36, pengurusan kewangan perkara paling penting dalam memiliki rumah.

Karina berkata, perkara itu tidak dapat dinafikan, apatah lagi apabila mereka berdua mempunyai seorang cahaya mata serta bekerja di Kuala Lumpur.

Jelasnya lagi, ketika ini mereka sudah mempunyai dua rumah iaitu pertama dimiliki pada tahun lalu dan kedua pada tahun ini dengan harga pembelian masing-masing RM300,000 serta RM320,000.

"Kami tidak melakukan perkongsian dalam pembiayaan kerana melihat hartanah ini adalah segmen pelaburan yang baik untuk jangka panjang.

"Bagi perspektif kami, daripada membeli rumah dengan harga yang mahal, tetapi mendapat sebuah sahaja tidak begitu berbaloi kerana salah satu boleh dijadikan pelaburan bagi menambah pendapatan setiap bulan," katanya.

Tambahnya, kini rumah pertama yang dimilikinya pada tahun lalu disewakan dan hasil sewaan itu digunakan untuk membayar komitmen pembiayaan aset berkenaan.

Selain itu, Karina berkata, dalam membuat keputusan memiliki rumah dalam tempoh yang dekat bukan sesuatu keputusan yang mudah untuk diputuskan.

AKTIVITI renovasi memberi nilai tambah kepada nilai hartanah.
AKTIVITI renovasi memberi nilai tambah kepada nilai hartanah.

"Seperti yang kita tahu, rumah di Kuala Lumpur ini harganya sentiasa meningkat dan apabila rumah yang saya miliki pada tahun ini berada di sekitar ibu negara dan dijual pada RM320,000, pastinya satu peluang yang baik untuk pelaburan masa depan.

"Jadi, saya dan suami membuat perkiraan dengan memastikan komitmen pembiayaan masing-masing kepada bank bagi hartanah serta perkara lain tidak melebihi 60 peratus daripada pendapatan supaya aliran tunai keluarga berada pada tahap yang selesa," katanya.

Katanya, dalam membeli rumah, perkara lain yang amat dititikberatkan adalah lokasi kerana untuk pelaburan kedudukan strategik mampu menarik perhatian penyewa.

"Rumah pertama terletak di Bukit Jalil. Ia begitu hampir untuk diakses dengan pelbagai lebuh raya dan dalam kawasan kejiranan yang sudah matang.

"Dua faktor ini menjadikan rumah kami mudah untuk mendapat penyewa kerana mudah untuk ke tempat kerja dan mendapat kemudahan lain yang berada di kawasan kejiranan seperti sekolah serta pusat komersial selain perkhidmatan kesihatan," katanya.

Katanya, bagi meningkatkan lagi nilai hartanah yang dibeli, mereka juga memperuntukkan bajet untuk pengubahsuaian rumah.

"Bagi rumah pertama, kami menaik taraf bahagian dapur dan bilik kerana jika penyewa dalam segmen keluarga, mereka amat memerlukan keselesaan di ruang ini.

"Jadi, bagi pendapat kami, langkah mengubah suai rumah untuk disewakan bukan sesuatu pembaziran, tetapi pelaburan yang baik," katanya.

Bagi rumah kedua jenis strata bersaiz sekitar 890 kaki persegi baharu sahaja didiami mereka sekeluarga. Malah, kedudukan strategik juga menjadi pilihan untuk dibeli.

RUANG dapur serba lengkap untuk Nik Nurfaqih dan Karina.
RUANG dapur serba lengkap untuk Nik Nurfaqih dan Karina.

Katanya, rumah kedua itu terletak di kawasan kejiranan jenis teres dan harga semasa sekitar RM700,000 seunit.

"Kediaman strata yang dibeli suami ini antara projek paling murah. Kami melihat pada masa depan, harga kediaman kejiranan yang berada di sekeliling pasti mempengaruhi harga jualan rumah ini," katanya.

Tambahnya, antara faktor membeli rumah kedua itu adalah kedudukannya dalam kawasan kejiranan yang sudah matang dan lengkap pelbagai kemudahan terutama untuk beriadah.

"Sebelum membuat keputusan membeli rumah kedua ini, saya dan suami turut membuat tinjauan mengenai lokasinya kerana sebagai pembeli yang sudah berkeluarga pastinya mahukan kemudahan yang mudah diakses seperti ke pusat perubatan, sekolah dan tempat kerja," katanya.

Nasihatnya, untuk membeli rumah persediaan awal kewangan amat penting kerana membeli rumah turut memerlukan aliran tunai yang baik.

"Beli rumah pastikan mengikut kemampuan peribadi walaupun sudah berkeluarga," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 7:00 AM