IMPIAN Rafiuddin memiliki kediaman sendiri pada usia muda tercapai.
IMPIAN Rafiuddin memiliki kediaman sendiri pada usia muda tercapai.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


APABILA membicarakan mengenai topik membeli rumah idaman, pasti ramai yang mengeluh terutama golongan muda.

Apa tidaknya, dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu seperti sekarang harga rumah di negara ini masih dianggap terlalu mahal dan sukar untuk dimiliki golongan muda khususnya generasi Y.

Terdapat banyak aspek yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat keputusan memiliki kediaman sendiri antaranya kemampuan kewangan, jenis rumah, lokasi, status kediaman, harga dan banyak lagi.

Bagi anak muda, Rafiuddin Idris, 32, impiannya memiliki kediaman sendiri tercapai menerusi

projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Katanya, dia memohon membeli projek perumahan jenis pangsapuri Residensi PR1MA Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur sejak tiga tahun lalu dan hanya terpilih membeli kediaman itu pada tahun 2019.

Katanya, dia menerima kunci pada akhir Jun lalu dan mendiami kediaman berkenaan tiga bulan kemudian.

"Rumah PR1MA sememangnya laris di pasaran kerana harganya lebih mampu milik berbanding projek perumahan oleh syarikat swasta.

RESIDENSI PR1MA Alam Damai memiliki kemudahan lengkap.
RESIDENSI PR1MA Alam Damai memiliki kemudahan lengkap.

RUANG dapur turut diubahsuai dan dilengkapkan dengan kabinet pasang siap.
RUANG dapur turut diubahsuai dan dilengkapkan dengan kabinet pasang siap.

"Saya sendiri tidak sangka berpeluang memiliki rumah PR1MA kerana terdapat ribuan pemohon untuk sesuatu projek perumahan yang dijalankan," katanya.

Menurut pelukis pelan itu lagi, dia memilih kediaman PR1MA kerana tertarik dengan faktor harga yang jauh lebih berpatutan.

Katanya, kediaman itu dijual pada harga RM333,000 namun selepas rebat, jumlah yang perlu dibayar hanyalah RM260,000.

"Selain itu, tempahan rumah juga tidak memerlukan bayaran wang deposit seperti projek lain dan apa yang lebih mengujakan, saya turut berpeluang menikmati pelbagai pengecualian menerusi Skim Pemilikan Rumah (HOC)," katanya.

Jelas Rafiuddin lagi, projek perumahan itu menjadi pilihan kerana ketika pembelian dilakukan, ia sudah hampir siap dan dapat mengelakkan risiko rumah terbengkalai.

"Saya adalah pembeli 'batch' kedua dan ketika itu, projek pembinaan hampir siap jadi, risiko rumah terbengkalai tiada.

"Kediaman ini menjadi pilihan kerana lokasinya yang strategik berdekatan dengan ibu kota selain turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas.

"Kebanyakan projek perumahan PR1MA juga terletak di bandar utama seluruh negara dan memiliki pelbagai kemudahan serta akses kepada pengangkutan awam, sekolah, kedai dan sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, seperti pembeli rumah lain, Rafiuddin turut tidak ketinggalan menghiasi kediaman impiannya.

KEDIAMAN kosong yang kini sudah bertukar wajah sepenuhnya.
KEDIAMAN kosong yang kini sudah bertukar wajah sepenuhnya.

Kata Rafiuddin, dia membeli perabot dan peralatan rumah secara sedikit demi sedikit sebaik sahaja selesai menandatangani perjanjian jual beli.

"Setiap bulan saya peruntukkan untuk membeli satu barang supaya bebanan kewangan tidak begitu terasa ketika memasuki rumah baharu.

"Selain itu, untuk lebih jimat, hiasan rumah seperti panel dinding atau 'wainscotting' juga disiapkan sendiri manakala peralatan untuk menjadikan rumah ini sebagai kediaman pintar juga dibeli dalam talian dan hanya mengupah kontraktor rumah untuk memasangkannya," katanya.

Rafiuddin berkata, meskipun dia perlu membayar ansuran bulanan lebih RM1, 000 namun ia berbaloi kerana rumah itu adalah aset untuk masa hadapannya.

Katanya, jika menyewa rumah dilokasi berhampiran pun, jumlah yang perlu dibayar juga sama tetapi ia tetap rumah sewa.

"Saya bersyukur kerana impian untuk memiliki rumah pertama pada umur 30 tercapai meskipun lewat sedikit.

"Bagi saya, golongan muda jangan tertangguh untuk mendapatkan rumah kerana harganya semakin hari semakin naik.

"Apapun, tepuk dada tanya selera, jika kita ada impian pasti ada keazaman untuk menunaikannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 6:37 AM