GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
RoselanAb Malek


Maran: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mewujudkan War Room Perumahan bagi mengatasi isu kelewatan projek perumahan di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib berkata, pendekatan ini membabitkan semua projek perumahan di bawah seliaan KPKT seperti PR1MA, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) termasuk pemaju swasta.

Beliau berkata, pelan war room atau mitigasi ini adalah proses berfokus bagi menyelesaikan sebarang isu kelewatan projek perumahan dengan cepat dan terbaik.

"Kita tidak menafikan memang ada projek perumahan yang lewat di dalam kementerian ni, bahkan melalui Kementerian, baru-baru ini pun kita telah menubuhkan war room, khusus untuk melihat bagaimana dan apakah masalah yang dihadapai oleh projek lewat ini," katanya.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran berkata, menerusi pelan mitigasi ini, KPKT akan memantau kemajuan projek melalui pemerhatian khusus, laporan mingguan dan terakhir selain mengeluarkan surat amaran.

"Dalam konteks kelewatan projek rumah PRIMA ini masalah utama dikenal pasti ialah kekangan kewangan yang dialami oleh PRIMA pada tahun 2017-2019 yang menyebabkan kelewatan dalam pembayaran," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Back to School peringkat Parlimen Maran, di sini, membabitkan 4,652 pelajar keluarga B40 dari Dewan Undangan Negeri ( DUN) Luit, DUN Chenor dan DUN Kuala Sentul.

Ismail (dua kiri) menyampaikan peralatan sekolah. FOTO Roselan Ab Malek
Ismail (dua kiri) menyampaikan peralatan sekolah. FOTO Roselan Ab Malek

Bagaimanapun, Ismail berkata, Pelan Rasionalisasi Projek Prima dilaksanakan pada 2019 dan sehingga kini PRIMA tidak lagi lewat melunaskan bayaran kepada kontraktor.

Dalam pada itu beliau mengakui bahawa pandemik Covid-19 antara faktor utama menyebabkan tapak binaan ditutup dan bekalan bahan binaan terganggu dalam tempoh yang panjang.

"Sekiranya kontraktor asal gagal menyiapkan projek mengikut perjanjian, pihak KPKT akan mencari kontraktor penyelamat bagi meneruskan projek demi rakyat," katanya.

Katanya, berdasarkan rekod KPKT sehingga kini 6,685 pembeli rumah dalam pembinaan mula membuat pembayaran kepada pihak bank.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 11:21 AM