M Oscar menampilkan gaya hidup yang berlainan.
M Oscar menampilkan gaya hidup yang berlainan.
Nabil Basaruddin


M Oscar yang terletak secara strategik di kawasan kejiranan matang di Kuchai Lama menjadikannya sebagai pilihan kediaman yang ideal khususnya kepada pembeli rumah pertama.

Projek yang dibangunkan oleh Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) itu turut dikelilingi kawasan membangun seperti Jalan Klang Lama, Sri Petaling, Bukit Jalil dan Salak Selatan.

Malah, hanya dalam radius 10 kilometer, penghuni M Oscar boleh mengakses dengan mudah untuk ke KLCC, Cheras, Ampang, Petaling Jaya dan Seri Kembangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing, Datuk Ho Hon Sang berkata, pembangunan M Oscar membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM500 juta yang dibangunkan di atas tanah seluas 1.83 hektar.

Beliau berkata, projek itu juga mempunyai dua blok bangunan masing-masing setinggi 32 tingkat dan 31 tingkat yang mengandungi 910 unit kediaman.

“M Oscar menawarkan empat jenis unit iaitu masing-masing dengan keluasan 708 kaki persegi (kps) dilengkapi dua bilik tidur dan dua bilik air, 895 kps (tiga bilik tidur serta dua bilik air).

“Selain itu, ia juga mempunyai rumah pada keluasan 1,096 kps yang terdiri daripada empat bilik tidur dan dua bilik air serta 1,198 kps yang mempunyai empat bilik tidur dan tiga bilik air,” katanya pada majlis pelancaran Galeri Jualan M Oscar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

M Oscar menawarkan rumah pada harga bermula daripada RM428,000 seunit dan tempahan boleh dibuat pada 5 Oktober ini (esok) di galeri jualannya.

Dibina pada ketinggian 100 meter dari aras laut, M Oscar menampilkan gaya hidup yang berlainan dengan permandangan luar biasa di sekelilingnya serta tiga konsep utama yang diselitkan bersama binaannya.

Ho berkata, penghuni rumah itu juga bakal menikmati pelbagai kemudahan seperti kolam renang sepanjang 50 meter, taman permainan, pavilion BBQ, gimnasium, trek joging, jakuzi dan kebun bandar.

Selain dilengkapi pelbagai kemudahan dalam kawasan kediaman M Oscar, katanya, ia juga berada berhampiran dengan kemudahan dan fasiliti pengangkutan awam.

“Antaranya adalah stesen MRT Taman Naga Emas yang akan melalui sepanjang MRT Laluan 2 yang bakal disiapkan menjelang Jun 2021 dan hanya 800 meter dari M Oscar,” katanya.

M Oscar juga berada berhampiran kemudahan runcit dan komersial seperti NSK Trade City, Mid Valley Megamall, Nu Sentral, Mytown dan Sunway Velocity.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 8:12 AM