KENNY  (tiga dari kiri) bersama Norhizam (dua dari kiri) menunjukkan aplikasi telefon pintar hUb. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
KENNY (tiga dari kiri) bersama Norhizam (dua dari kiri) menunjukkan aplikasi telefon pintar hUb. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Nasuha Badrul Huzaini


KUALA LUMPUR: Pemaju pembangunan, UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) bakal melancarkan projek pembangunan bercampur terbaharunya di Kepong, Kuala Lumpur menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pemasarannya, Kenny Wong berkata, bagaimanapun, nama projek dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM680 juta hingga RM690 juta itu masih belum boleh dihebahkan.

“Projek di atas tanah seluas 29.4 hektar itu merangkumi pembinaan dua blok kondominium dengan anggaran 870 unit hingga 900 unit. Ia akan dibangunkan secara bersama dengan rakan kongsi kami di kawasan berhampiran Taman Metropolitan Kepong.

“Pembangunan fasa pertama itu akan menerapkan konsep gaya hidup kontemporari moden dan keseluruhan tapak dijangka mengambil masa sehingga 15 hingga 20 tahun untuk dibangunkan sepenuhnya,” katanya kepada media selepas melancarkan aplikasi mudah alih, hUb, semalam.

Aplikasi berkenaan dibangunkan untuk memenuhi keperluan pembeli rumah yang dibangunkan UEM Sunrise serta untuk kegunaan bakal pembeli rumah berpotensi.

Ia adalah sebahagian daripada usaha syarikat berkenaan untuk meningkatkan pengalaman pelanggannya dengan melaksanakan inovasi dan memenuhi inisiatif Go Digital.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Presiden Pembangunan Ekosistem Pertumbuhan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Norhizam Kadir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 8:00 AM