SYED Hussain (tengah) bergambar bersama lima pemenang Shell LiveWIRE edisi Semenanjung Malaysia.
SYED Hussain (tengah) bergambar bersama lima pemenang Shell LiveWIRE edisi Semenanjung Malaysia.
Suliati Asri


Shell LiveWIRE Semenanjung Malaysia 2023 menutup tirainya apabila pengumuman lima usahawan iaitu GK Aqua, Materials in Works, Complement Ventures, Certiify Solutions dan Garbage to Green sebagai pemenang untuk edisi kali ini.

Selain menerima dana permulaan sebanyak RM10,000, pemenang juga akan menerima bimbingan perniagaan selama setahun untuk membangunkan rancangan perniagaan mereka menjadi perniagaan sepenuhnya dan akses kepada kemudahan serta peluang yang disediakan oleh Shell.

Selain itu, pemenang juga akan diberi peluang untuk berhubung dengan ekosistem LiveWIRE global dan berkongsi pengetahuan mereka dengan usahawan di seluruh dunia sekali gus berpeluang untuk bersaing dalam Shell Global Top Ten Innovators Awards.

Pengurus Besar Operasi Perniagaan Shell Kuala Lumpur, Syed Hussain Taha berkata, Program LiveWIRE ini menyediakan platform untuk usahawan berhubung dengan ekosistem LiveWIRE global.

"Saya menggesa usahawan kami untuk memanfaatkan peluang yang disediakan oleh Shell LiveWIRE,"katanya.

Pemenang juga perlu bersaing dengan lebih 60 peserta yang menyertai program ini.

Daripada jumlah itu, seramai 30 peserta akan disenarai pendek untuk menyertai bootcamp bagi memilih 10 syarikat yang akan mara ke peringkat akhir.

Menerusinya, mereka akan membentangkan idea dan rancangan perniagaan komprehensif mereka sebelum dinobatkan sebagai pemenang.

Bagi Garbage to Green, langkah yang diambil untuk mengurangkan peningkatan sisa di tapak pengumpulan sampah dan kesan buruknya terhadap alam sekitar menerusi projek kompos sisa makanan menjadi baja organik, ia tidak semudah yang digambarkan.

Pengasasnya, Presant Sathasivam, 29, berkata, kurang pendedahan terhadap kitar semula dalam kalangan masyarakat dan penolakan penduduk setempat memberikan sisa sampah dari dapur mereka antara cabaran yang dihadapi.

Katanya pihaknya juga berkunjung dari rumah ke rumah untuk mengumpul sisa-sisa buangan dapur seperti sisa sayur-sayuran, kulit bawang merah dan putih, kulit telur dan hampas kopi.

"Pada awalnya, kami memang berdepan dengan kesukaran terutama untuk mendapatkan sisa buangan dapur kerana ada yang menyangka kami akan mengaut keuntungan. Ada juga yang meminta bayaran bagi sisa buangan dapur yang mereka berikan," katanya.

Diusahakan bersama rakannya, Malini Tamil Selvam, 27, idea untuk melaksanakan projek ini tercetus daripada bau busuk disebabkan lambakan sampah di pusat pengumpulan sampah di kawasan mereka.

Malini berkata, setiap hari lebih 16,000 tan sisa makanan dibuang di negara ini dan keadaan itu sangat tidak baik untuk kesihatan.

"Kami berdua adalah ejen kelestarian alam sekitar di Temerloh, Pahang dan apabila perkara ini berlaku kami juga merasa bertanggungjawab untuk mencari penyelesaian.

"Menerusi projek ini, sisa makanan yang dikompos akan dijadikan baja organik yang buat masa ini akan memanfaatkan penduduk setempat," katanya yang kini dalam proses penyelidikan untuk menghasilkan baja organik dalam bentuk duit syiling.

Tampil dengan produk jenama Complemen+, mereka menghasilkan lilin wangian mesra alam dan mewah yang diinovasikan dengan teknologi untuk golongan milenial yang bekerjaya dan Gen-Z.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Amrit Muralidharan berkata, meyakinkan pelanggan memang susah kerana produk seumpama ini banyak terjual di pasaran.

"Lebih menarik, aroma lilin ini juga disesuaikan dengan alunan muzik yang boleh dimainkan melalui platform Spotify, sekali gus memberi ketengan kepada pelanggan, "katanya.

Amrit berkata, pihaknya pernah melalui beberapa kegagalan dalam menghasilkan Complemen+ ini ditambah pula dengan dana yang dikeluarkan oleh kami sendiri.

"Namun, apabila mengikuti program ini banyak yang kami pelajari terutama dalam bidang perniagaan, "katanya yang kini dalam rangka untuk memperluaskan produk mereka ke negara Asia Tenggara dan Australia.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Certiify Solutions, Norlisa Francis Nordin berkata, pihaknya menyertai Shell LiveWIRE bukan niat untuk menang, tetapi lebih kepada mahu belajar dan faham sistem perniagaan yang Shell terapkan.

"Shell LiveWIRE ini cukup berbeza dengan program lain kerana ia tidak terlalu menekankan kepada strategi pemasaran, modal, tetapi lebih fokus kepada kelestarian.

"Program ini juga membuka peluang yang luas kepada peserta kerana ia tidak hanya terhenti apabila pemenang sudah diumumkan, sebaliknya kami akan menerima perniagaan selama setahun untuk membangunkan rancangan perniagaan menjadi perniagaan sepenuhnya.

"Selain itu, pemenang juga akan diberi peluang untuk berhubung dengan ekosistem LiveWIRE global dan bersaing dalam Shell Global Top Ten Innovators Awards," katanya.

"Platform ini memanfaatkan teknologi blockchain untuk mencegah penipuan pensijilan dan menggalakkan amalan pensijilan yang beretika dan telus,"katanya.

Bagi Pengarah Teknikal Materials In Works (M) Sdn Bhd John Ooi, Shell LiveWIRE ini adalah program yang sangat bagus kerana memberi banyak pendedahan dan perkongsian ilmu dalam perniagaan.

Katanya, pemberian geran kecil, kerjasama serta bimbingan yang disediakan juga membolehkan pengusaha sentiasa berada dalam landasan yang betul bagi mencapai matlamat mereka.

"Tidak hanya membantu peniaga untuk berfikir di luar kotak, sekali gus membolehkan perniagaan yang dijalankan berkembang baik, konsep bimbingan yang diketengahkan sangat bagus dan bertepatan.

"Perkongsian kisah-kisah syarikat pemula dan peserta program di peringkat antarabangsa pula turut memberi impak yang besar buat saya,"katanya.

Memulakan perniagaan sejak 2018, Material in Works adalah syarikat yang mencari bahan buangan kerja iaitu pelekat label bagi membekalkan bahan mentah HIJAU yang boleh dipercayai kepada industri tertentu dengan mendapatkan semula sumber berharga daripada sisa pepejal industri yang dikumpul dan mencapai matlamat sisa sifar ke tapak pelupusan.

John Ooi berkata, Shell adalah syarikat antarabangsa yang mempunyai pelbagai rangkaian dan cabang perniagaan.

"Oleh itu, bagi syarikat pemula atau usahawan yang tidak jelas dengan fokus dan hala tuju dalam perniagaan, program ini adalah yang terbaik,"katanya.

Sementara itu, Pengurus Strategi Korporat GK Aqua, Goh Si Jing berkata, memenangi Shell LiveWIRE ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang dan kerjasama bukan saja dari Shell, tetapi juga syarikat luar dalam menjayakan projek yang sedang dijalankan.

Si Jing berkata, GK Aqua adalah syarikat Bioteknilogi Malaysia yang merintis bioteknologi udang air tawar.

"Oleh itu, menerusi program ini kami berharap lebih banyak kerjasama boleh diusahakan bersama Shell dan juga syarikat lain yang berminat untuk turut sama dalam projek ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai program ini, Si Jing berkata, program ini banyak memberi input yang dapat membuatkan peserta lebih berfikiran ke arah perniagaan dan mempelajari teknik pembentangan yang baik.

"Selain itu, program ini memberi peluang untuk menimba ilmu baharu dan memperluaskan rangkaian kerana semua peserta mempunyai produk serta idea yang berlainan, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 6:30 AM