MENTERI Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama usahawan yang menyertai Jelajah AKM Kedah.
MENTERI Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama usahawan yang menyertai Jelajah AKM Kedah.
Zuliaty Zulkiffli & Izad Thaqif Hassan


Alor Setar: Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kedah siri kesembilan selama tiga hari yang berakhir Ahad lalu di Stadium Darul Aman menarik kehadiran 115,510 pengunjung.

Jumlah pengunjung tertinggi berbanding penganjuran di negeri lain itu membabitkan keseluruhan pengunjung ke tapak AKM di pekarangan stadium berkenaan serta program Kenuri Rakyat Keluarga Malaysia @Padang Terap yang berlangsung pada hari pertama AKM.

Ia membabitkan pembabitan 27 agensi kerajaan serta 140 usahawan pelbagai sektor perniagaan yang menjual produk keluaran tempatan khususnya dari luar bandar.

JELAJAH AKM Kedah turut mengetengahkan Program Pendigilitan Usahawan (PPU).
JELAJAH AKM Kedah turut mengetengahkan Program Pendigilitan Usahawan (PPU).

Penganjuran kali ini mengetengahkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebagai peneraju dengan tema Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera yang amat relevan dalam usaha KPLB menyokong konsep keluarga Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pendekatan KPLB kali ini selaku peneraju adalah dengan integrasi elemen Mini Karnival Usahawan Desa @KPLB menerusi Pavilion Usahawan Desa KPLB @ JAKM Kedah yang memaparkan program keusahawanan di bawah KPLB seperti Program Rural Business Challenge (RBC), Program Start Right @ KLPB (PSR), Program Skim Pengukuhan Keusahawan Luar Bandar (SPKLB).

Selain itu, program lain seperti Program Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dan Program Desamall @ KPLB dan rakan strategik di bawah Program Pendigitalan Usahawan (PPU) serta penyertaan usahawan bimbingan agensi di bawah KPLB dalam memasarkan produk kategori makanan dan minuman, kategori kesihatan dan kecantikan serta kategori fesyen dan aksesori.

ORANG ramai mengunjungi booth KPLB.
ORANG ramai mengunjungi booth KPLB.

Pavilion Usahawan Desa @ KPLB menyediakan ruangan bagi memasarkan pelbagai produk jualan usahawan bimbingan agensi di bawah KPLB dan sebuah bistro sebagai satu tarikan pengunjung untuk menikmati makanan dan minuman yang dihasilkan oleh usahawan luar bandar iaitu RBC Bistro.

Selain itu, antara pengisian aktiviti di pavilion ini sepanjang JAKM Kedah berlangsung merangkumi aktiviti product testing dan produk pitching oleh usahawan luar bandar.

ISMAIL Sabri (tengah) ketika merasmikan  Jelajah AKM Kedah.
ISMAIL Sabri (tengah) ketika merasmikan Jelajah AKM Kedah.

Jumlah penyertaan usahawan di bawah KPLB khususnya Pavilion Usahawan Desa KPLB @JAKM ini berjumlah 60 usahawan termasuklah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Felcra Berhad, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Penyertaan usahawan bimbingan agensi di bawah KPLB ini bertujuan memberi ruang dan peluang kepada usahawan untuk memasarkan produk masing-masing kepada pengunjung serta pembeli dan pelanggan yang berpotensi.

Pembabitan Program DesaMall @KPLB di Pavilion Usahawan Desa KPLB @ JAKM Kedah turut mengetengahkan Program Pendigilitan Usahawan (PPU) yang juga platform kerjasama strategik ke arah membantu usahawan luar bandar mendigitalkan perniagaan mereka dengan pembabitan 11 rakan strategik seperti Maybank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Food Panda, Lazada, Boost Bizz, eDesa, Store Hub dan banyak lagi.

Pavilion Usahawan Desa KPLB @ JAKM Kedah menerusi Program Desamall @ KPLB juga mengadakan sesi Laz Live dan Shoppe Live setiap hari sepanjang tiga hari JAKM Kedah ini berlangsung bagi memberi peluang untuk usahawan bimbingan agensi di bawah KPLB yang menyertai Program Desamall @ KPLB untuk memasarkan produk secara langsung menerusi platform e-Dagang Lazada dan Shoppe.

Penyertaan KPLB dalam JAKM Kedah ini juga adalah salah satu inisiatif KPLB bagi mempersiapkan usahawan luar bandar untuk menyertai Karnival Usahawan Desa (KUD) yang akan diadakan tahun depan.

Antara kelainan pada pelaksanaan JAKM Kedah kali ini adalah mengetengahkan elemen kebudayaan Orang Asli menerusi pembabitan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) aktiviti tarikan pengunjung meliputi kaunter informasi dan aktiviti kebudayaan seperti persembahan tarian Orang Asli untuk memeriahkan lagi JAKM Kedah.

AKM bantu lariskan produk usahawan

Alor Setar: Usahawan luar bandar berharap program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) diteruskan pada masa akan datang untuk membantu mereka mengetengahkan produk yang dihasilkan.

Peniaga bunga sabun, Nur Fazidah Mohd Saad, 47, dari Bandar Baharu berkata, sebelum ini dia hanya mengembangkan perniagaan secara dalam talian di rumah.

Katanya, dia menghasilkan sendiri produk bunga sabun sebagai cenderahati ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

"Sejak itu, saya hanya jual secara dalam talian bergantung permintaan pelanggan.

"Tetapi melalui perniagaan sendiri di rumah, ia agak kurang sambutan namun melalui program AKM ini, saya tak sangka mendapat sambutan luar biasa," katanya ketika ditemui di AKM Negeri Kedah, Stadium Darul Aman di sini.

Menurut Nur Fazidah, produk bunga sabun keluaran sendiri itu dijual pada harga RM5 hingga mencecah ribuan ringgit bergantung saiz dan jenis.

Usahawan sambal bilis rangup, Azila Azman, 30, berkata, walaupun baru pertama kali menceburkan perniagaan ini, namun dia berpuas hati menyertai AKM Negeri Kedah kerana sambutan yang diterima amat memberangsangkan.

"Kita beri peluang pengunjung rasa produk sambal bilis rangup ini dan kebanyakannya berpatah balik membeli dengan jumlah banyak.

"Saya berharap program ini diadakan lagi untuk membantu golongan usahawan baru seperti saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 6:31 AM