SYARIFAH Nurfaizah dan Syed Hamdi bergambar bergambar bersama produk AhmadTamar yang kini boleh didapati di Shell Select.
SYARIFAH Nurfaizah dan Syed Hamdi bergambar bergambar bersama produk AhmadTamar yang kini boleh didapati di Shell Select.
Suliati Asri

DENGAN bermodalkan RM200 pada 2015, siapa sangka hasrat menjadikan kurma sebagai makanan harian yang boleh diperoleh dengan mudah menjadi satu kenyataan.

Bukan itu saja, dengan inovasi kurma menjadi pelbagai rangkaian produk menerusi jenama AhmadTamar, ia secara tidak langsung memupuk rasa cinta terhadap buah yang berkhasiat ini dalam kalangan pengguna.

Lebih membanggakan, produk ini kini boleh didapati di 750 Shell di seluruh Malaysia.

Diusahakan pasangan suami isteri iaitu Syed Hamdi, 29, dan Syarifah Nurfaizah Wan Manshor, 29, untuk sampai ke tahap sekarang bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak cabaran yang perlu mereka tempuhi.

Namun, mereka bersyukur kerana pilihan untuk menyertai program dari Shell untuk usahawan, Shell LiveWIRE, ketika itu tidak hanya menobatkan mereka sebagai salah satu pemenang tetapi menjadi titik permulaan mengembangkan perniagaan Ahmad Tamar Sdn Bhd serta mengukuhkan jenama produk AhmadTamar.

Selaku Ketua Pegawai Operasi, Syarifah Nurfaizah berkata dia mengetahui program pada 2019 tetapi ketika itu, penyertaan di dua lokasi iaitu di Kuching dan Bintulu sudah ditutup.

ANTARA produk AhmadTamar berasaskan kurma.
ANTARA produk AhmadTamar berasaskan kurma.

"Kami teruja ketika mengetahui pendaftaran sudah dibuka tetapi malangnya lokasinya hanya di Miri dan akan berlangsung tiga hari lagi.

"Walaupun tidak yakin akan diterima berikutan penyertaan saat akhir, tetapi kami nekad untuk menghantar penyertaan. Alhamdulillah, dua hari sebelum program berlangsung, kami diberitahu permohonan berjaya," katanya.

Syarifah Nurfaizah berkata, walaupun gembira tetapi mereka berbelah bahagi kerana jarak perjalanan menaiki kereta dari Kuching ke Miri adalah 800 kilometer.

"Ketika itu kami baru dua tahun berniaga secara rasmi dan kewangan masih tidak stabil. Mahu naik pesawat, harga tiket mahal.

"Jadi, kami mengambil keputusan untuk memandu ke Miri selama 15 jam dan terpaksa tidur di dalam kereta kerana tidak mampu menginap di hotel," katanya.

Bukan hanya platform mempromosikan produk, Shell LiveWIRE ini ibarat 'sekolah percuma' yang memberi banyak ilmu berharga terutama dalam perniagaan.

Syed Hamdi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Tamar Sdn Bhd berkata mereka tidak mempunyai pendidikan asas rasmi dalam perniagaan dan mengambil inisiatif untuk menghadiri seminar di merata tempat termasuk di Semenanjung setiap bulan sejak menjalankan perniagaan.

Namun, katanya menerusi Shell LiveWIRE ini, banyak ilmu perniagaan yang diperoleh serta modul perniagaan yang disampaikan adalah berstruktur dan berkelas dunia serta menyediakan bimbingan dari mentor berpengalaman tanpa sebarang bayaran.

"Sejak mengikuti Shell LiveWIRE pada 2019, permintaan terhadap produk kami setiap tahun meningkat selain berpindah ke kilang yang lebih besar.

"Dari segi perkembangan perniagaan, selain ilmu kami banyak kemajuan dalam infrastruktur. Kami juga berjaya merevolusikan pembungkusan produk yang mana awalnya hanya menggunakan pelekat tetapi sekarang semua ditempah khas.

"Malah ada pembungkusan untuk sebahagian produk ditempah khas dari Timur Tengah," katanya.

SYARIFAH Nurfaizah (tengah) dan Syed Hamdi (dua dari kanan) ketika dinobatkan sebagai pemenang Shell LiveWIRE 2019.
SYARIFAH Nurfaizah (tengah) dan Syed Hamdi (dua dari kanan) ketika dinobatkan sebagai pemenang Shell LiveWIRE 2019.

Produk AhmadTamar yang dulunya menerima penolakan terutama di luar bulan Ramadan, kini semakin mendapat sambutan pelanggan walaupun pada bulan biasa.

Ini terbukti apabila saban tahun bermula pada 2017, pasangan ini hanya mengimport satu tan kurma, pada 2018 sebanyak tujuh tan diikuti 10 tan pada 2019.

Ketika pandemik Covid-19, mereka bahkan mengimport 20 tan iaitu dua kali ganda daripada sebelumnya, 40 tan pada 2021, 100 tan untuk 2022 dan untuk tahun ini saja, mereka sudah mengimport lebih 150 tan kurma.

Oleh itu, Syed Hamdi menasihati usahawan muda yang ingin memulakan perniagaan untuk berani, yakin dan fokus berusaha dalam apa juga bidang perniagaan yang mahu diceburi.

"Apa juga perniagaan yang mahu diusahakan, lakukan. Ini kerana walau apa pun yang terjadi, jika kita tidak bermula, kita tidak tahu hasilnya.

"Bertitik tolak dari penyertaan kami di Shell LiveWIRE ini, sekiranya kami tidak menghantar penyertaan, kami mungkin tidak berada di tahap ini sekarang," katanya.

Syed Hamdi turut menyarankan semua usahawan menyertai Shell LiveWIRE kerana ia menjadi pembuka peluang dalam pelbagai sudut.

Katanya, sebagai salah satu pemenang Shell LiveWIRE 2019, ketika itu, mereka memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM15,000.

"Jangan pandang pada nilai (hadiah kemenangan). Ia mungkin nampak sikit pada pandangan ramai tetapi pada kami, ilmu dan kemahiran yang kami peroleh semasa dan selepas program Shell LiveWIRE ini, sangat tinggi nilainya tidak terukur dengan hadiah kemenangan.

"Oleh itu, saya sangat menyarankan usahawan di luar sana menyertai Shell LiveWIRE ini," katanya yang kini merancang untuk menyertai Anugerah Sepuluh Innovator Teratas Global Shell LiveWIRE melalui produk inovasi kurma terbaru keluaran AhmadTamar.

Penyertaan untuk mengikuti program Shell LiveWIRE 2023 bagi Semenanjung Malaysia terbuka sekarang dan tarikh akhir untuk permohonan adalah pada 11 August, 2023.

Untuk memohon, layari https://livewire.shell.com.my/

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 6:20 AM