CAIRUL HISHAM (kiri) bersama Pengurus Kawasan Servis Johor Selatan 1, SWM Environment, Mohd Nur Izham Ahmad (kanan) pada program Clean and Clear di Taman Desa Cemerlang, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
CAIRUL HISHAM (kiri) bersama Pengurus Kawasan Servis Johor Selatan 1, SWM Environment, Mohd Nur Izham Ahmad (kanan) pada program Clean and Clear di Taman Desa Cemerlang, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Sebanyak 55 lokasi 'hotspot' dikesan sebagai kawasan pembuangan sampah haram yang masih aktif, sepanjang tahun ini.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor, Cairul Hisham Jalaluddin, berkata 60 peratus sampah kebanyakan adalah sisa pembinaan, manakala 35 peratus meliputi industri mahupun komersial dan lima peratus pula sampah domestik.

Katanya, sejak 2016 hingga Oktober lalu, sebanyak 237 pembasmian lokasi pembuangan sampah haram yang dilaksanakan dengan kerjasama SWM Environment.

"Selain pemantauan berkala dan berjadual, SWCorp juga akan mengambil tindakan ke atas sebarang aduan berkaitan kegiatan pembuangan sampah haram.

"Sebanyak 27 kes pendakwaan sampah haram mengikut Akta 672 yang direkodkan di negeri ini, sehingga Oktober lalu, dengan denda terkumpul bernilai RM451,000.

"Bagi libat urus dan Operasi Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (SAS), SWCorp melaksanakannya di 230,267 premis dan sebanyak 87 kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis dengan jumlah kompaun sejak 2016 sehingga kini bernilai RM4,750," katanya ketika ditemui selepas program Clean and Clear di Taman Desa Cemerlang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif yang dilaksanakan sejak 2018 itu, membabitkan lawatan turun padang ke 15 kawasan

pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor bagi memastikan kualiti perkhidmatan syarikat konsesi sentiasa berada pada tahap memuaskan.

Katanya, pelaksanaan turut merangkumi lokasi 'independent area', membuat semakan pembersihan pasar, semakan data inventori serta mengadakan libat urus bersama masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 3:45 PM