JALINAH menunjukkan buah tarap yang masak perlu digantung supaya isinya yang lembut tidak terjejas sebelum dikopek. - FOTO Recqueal Raimi
JALINAH menunjukkan buah tarap yang masak perlu digantung supaya isinya yang lembut tidak terjejas sebelum dikopek. - FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi


BAGI penggemar buah tempatan, pasti ramai lebih menggemari durian yang dikatakan raja segala buah. Apatah lagi setiap kali musim buah-buahan tiba, kawasan pasar mahupun di tepi jalan pasti menjadi tumpuan orang ramai.

Namun berbeza di Sabah, pelbagai jenis buah eksotik menjadi pilihan penduduk atau penggemar buah bermusim selain menarik minat pengunjung luar dari Semenanjung dan pelancong asing.

Pada musim buah-buahan di Sabah ketika ini, antara buah eksotik popular dan diminati adalah buah tarap atau lebih dikenali sebagai 'timadang' dalam kalangan masyarakat Kadazan- Dusun.

Nama saintifik pokok ini ialah Artocarpus odoratissimus, tumbuh subur di kawasan beriklim tropika dan mudah didapati di Kepulauan Borneo seperti di Sabah.

Buah tarap yang berbentuk bulat dan beratnya boleh mencapai 2.5 kilogram itu berbentuk bulat diselaputi bulu kasar seperti berus dan bergetah.

Kebiasaannya buah yang masih muda atau mentah 'bersifat' kulit berwarna hijau pekat dan keras tetapi buah yang sudah masak pula mempunyai warna hijau kekuningan, lembut dan berbau harum.

Malah buah tarap yang sudah masak sangat mudah dikopek untuk diambil isi buahnya yang berwarna putih susu.

Jika dahulu, buah tarap hanya mudah didapati di kawasan luar bandar dan dijual penduduk kampung pada harga murah.

Bagaimanapun, siapa sangka buah tarap kini setanding buah tempatan lain sehingga ada buah tarap yang masak dijual RM20 sehingga RM30 sebiji di bandar raya Kota Kinabalu.

ISI buah tarap berwarna putih susu bersifat lembut dan berbau harum. - FOTO Recqueal Raimi
ISI buah tarap berwarna putih susu bersifat lembut dan berbau harum. - FOTO Recqueal Raimi

BUAH bambangan yang masak, isinya berwana kuning keemasan dan mempunyai rasa masam manis. - FOTO Recqueal Raimi
BUAH bambangan yang masak, isinya berwana kuning keemasan dan mempunyai rasa masam manis. - FOTO Recqueal Raimi

Peniaga buah tempatan di Bayaon, Kiulu terletak kira-kira 45 kilometer dari bandar Kota Kinabalu, Jalinah Jukin, 57, berkata, buah tarap banyak didapati bermula Julai lalu dan dijangka berterusan selama dua bulan.

Menurutnya, ia menyebabkan gerai menjual pelbagai buah itu mudah didapati sepanjang Jalan Kiulu-Tamparuli. "Orang ramai memberhentikan kenderaan masing-masing di tepi jalan untuk membeli buah tarap sebagai hidangan keluarga.

"Saya menjualnya pada harga bermula RM3 sehingga RM15 mengikut saiz dan bergantung sama ada buah itu masih mentah atau sudah masak," katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.

Menurutnya, musim buah tarap adalah setahun sekali dan kali ini musimnya dijangka berakhir awal September. "Selain rasa manis apabila masak, buah tarap yang mentah juga boleh dipotong kecil-kecil untuk dimasak sebagai sup sayur yang dicampur ikan masin atau daging.

"Malah, buah tarap yang masak boleh dicampur dengan adunan tepung untuk dijadikan kuih," katanya.

Jalinah berkata, musim tarap lazimnya disusuli bambangan, durian dan rambutan di kawasannya sekali gus menarik ramai pelancong yang singgah apabila ke daerah berkenaan untuk melancong.

Sementara itu, pelancong Wanita dari Korea dikenali Haeun, 28, berkata, dia tertarik dengan keunikan buah tarap yang pertama kali dilihatnya.

"Awalnya, bas pelancong yang membawa kami ke daerah ini memberhentikan kenderaan untuk beri peluang kepada kami merasai buah-buahan tempatan.

"Saya terlihat gerai menjual buah ini dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu selepas melawat Kiulu dan ia jarang ditemui di negara kami.

BUAH bambangan juga boleh dijadikan jeruk atau sambal selain masakan ikan rebus. - FOTO Recqueal Raimi
BUAH bambangan juga boleh dijadikan jeruk atau sambal selain masakan ikan rebus. - FOTO Recqueal Raimi

ISI buah tarap yang mentah dijual serendah RM3 bagi satu peket untuk memudahkan ia dimasak sebagai hidangan lauk. - FOTO Recqueal Raimi
ISI buah tarap yang mentah dijual serendah RM3 bagi satu peket untuk memudahkan ia dimasak sebagai hidangan lauk. - FOTO Recqueal Raimi

BUAH eksotik seperti tarap dan bambangan dijual murah mudah didapati di Jalan Kiulu-Tamparuli, Tuaran. - FOTO Recqueal Raimi
BUAH eksotik seperti tarap dan bambangan dijual murah mudah didapati di Jalan Kiulu-Tamparuli, Tuaran. - FOTO Recqueal Raimi

"Rasanya enak dan lembut selepas mencubanya di gerai itu dan saya terus membeli lapan biji buah tarap untuk dimakan sekeluarga sepanjang perjalanan ke hotel di Kota Kinabalu," katanya.

Selain tarap, satu lagi buah eksotik yang terkenal di Sabah ialah bambangan atau nama saintifiknya Mangifera pajang yang dikenal pasti dalam keluarga buah mangga.

Berbeza dengan mangga yang kulit buahnya berwarna hijau ketika mentah dan kuning sesudah masak, kulit buah bambangan sama ada mentah atau masak adalah tetap berwarna coklat.

Bagi menikmati isi buah ini yang berwarna kuning keemasan, kulitnya perlu dikopek seperti mengopek kulit kelapa tua.

Rasa isinya yang masam manis boleh dimakan terus atau bagi kaedah lain, ia boleh dijadikan jeruk atau sambal selain dicampur dalam masakan sup terutama ikan rebus.

Penggemar buah ini, Patricia Ikat, 57, berkata, untuk membuat jeruk bambangan, isinya yang mentah akan dipotong menjadi kecil dengan biji buah yang diparut lalu dicampur garam atau tambahan cili sebelum diperam.

"Jeruk bambangan boleh bertahan selama berbulan-bulan," katanya.

Katanya, pokok bambangan mengambil masa yang lama untuk berbuah iaitu antara lapan tahun hingga 15 tahun.

Berbeza dengan pokok tarap yang hanya ditanam empat sehingga enam tahun sebelum menghasilkan buah. "Kebanyakan pokok bambangan yang ada di Sabah ketika ini berusia lebih seabad berikutan saiz pokoknya yang besar seperti balak dengan ada yang mencapai ketinggian lebih 50 meter.

"Tidak ramai menanam pokok bambangan kerana ia mengambil masa lama untuk berbuah dan perlu mencapai saiz sekurang-kurangnya satu pemeluk baru boleh menghasilkan buah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 7:00 AM