Recqueal Raimi


Tuaran: Meskipun sedar akan risiko Covid-19, namun ia bukan halangan kepada seorang warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, hari ini.

Dominic Surat, 75, berasal dari Kampung Rugading, Kiulu, tiba jam 7.40 pagi ditemani ahli keluarganya mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stepehens Kiulu, Tuaran.

Walaupun pergerakan kakinya terbatas akibat pernah tergelincir di lereng bukit sebelum memakai kerusi roda sejak 1980, dia tetap bersemangat apabila mengatakan sudah mengundi lebih lima kali termasuk pilihan raya umum (PRU).

"Selagi masih mampu berfikir dan menggerakkan tangan untuk memangkah calon, saya tetap bersemangat mengundi sebagai rakyat Malaysia terutamanya anak jati Kiulu, Sabah."

"Saya juga tidak perlu risau kerana pusat mengundi di sini menyediakan sistem pemeriksaan saringan Covid-19 dan kawalan pematuhan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat," ujarnya.

DUN Kiulu menyaksikan pertandingan enam penjuru apabila Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran buat kali pertama juga bertanding di kerusi itu dan berdepan lima lawan yang termasuk penyandang kerusi sebelum ini Datuk Joniston Bangkuai mewakili Parti Bersatu Sabah (PBS).

Berbanding sebelumnya, ini penyertaan kali pertama UPKO bersama rakan kerjasama Parti Warisan Sabah (WARISAN), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Selain dua nama calon besar terbabit, empat pencabar lain adalah Rozylyn @ Rosalyn Gelunu dari Liberal Democratic Party (LDP), Andau Yasun Bruno dari Parti Cinta Sabah (PCS); dan dua calon Bebas, Joliania Lampog danDominic Yasun.

DOMINIC SURAT. FOTO Recqueal Raimi
DOMINIC SURAT. FOTO Recqueal Raimi

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 10:03 AM