Lizam Ridzuan


Untuk satu tempoh tertentu Vroom berpeluang memandu uji model Perodua Ativa Hybrid 1.2L S-HEV DVVT adalah penawaran terbaharu dalam barisan model itu di negara ini.

Namun ia bukan untuk dijual tetapi ditawarkan menerusi konsep langganan di bawah pelan EZ MOBi yang disasarkan kepada golongan pelanggan tertentu di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Ia meliputi jadual penyelenggaraan, insurans kenderaan dan cukai jalan semua akan diuruskan sepenuhnya oleh Perodua dan pelanggan hanya perlu membayar yuran langganan untuk menikmati pakej berkenaan RM500 sebulan selama lima tahun dan selepas itu kereta akan dipulangkan kembali kepada Perodua.

Konsep ini juga sebagai kajian untuk memahami tingkah laku pemanduan berkaitan kenderaan hibrid selain pakej langganan yang ditawarkan kepada pelanggan.

Menyentuh berkenaan model Ativa Hibrid ini ia adalah model import sepenuhnya (CBU) yang diasaskan daripada model Daihatsu Rocky.

ATIVA Hybrid.
ATIVA Hybrid.

Berbanding model lain Ativa dengan enjin trubo adalah yang dibangunkan menerusi kerjasama strategik bersama Daihatsu Motor Corporation yang diperkenalkan ke dalam pasaran pada 2021.

Enjin e-smart Hibrid ini pula diperkenalkan oleh Daihatsu Motor Corporation pada tahun 2021 yang menawarkan ciri enjin kenderaan hibrid pada harga yang lebih berpatutan diperkenalkan ke dalam pasaran tempatan September 2022.

Antara perbezaan utama model SUV kompak ini ialah ia didatangkan dengan rekaan gril hadapan dan kemasan bampar yang berbeza serta dengan satu pilihan warna sahaja iaitu putih.

Ia juga dengan cermin sisi warna mengikut badan kenderaan dan pada sebelah bahagian kiri terdapat cermin tambahan bagi pandangan bahagian bawah sisi kenderaan.

GAYA kompak dan aktif.
GAYA kompak dan aktif.

Ciri lain dengan rim aloi bersaiz 17 inci rekaan baharu dengan lima lubang skru (Turbo dengan 4) dengan saiz tayar 195/60 dengan kelebaran lebih kecil berbanding Ativa Turbo iaitu 205/60.

Bahagian belakang dengan sedikit berbeza pada kemasan bampar, ruang nombor pendaftaran, kemasan belakang pintu tanpa krom, tiada logo model dan pintu kargo material plastik menjadikan antara perbezaannya.

Ciri ruang dalaman berwarna gelap, dengan perbezaan pada papan pemuka pada bahagian suis pendingin hawa dengan fungsi automatik, pada konsol tengah dengan brek parkir elektronik, butang 'hold' dan dua tempat meletak cawan minuman.

Meter TFT digital sepenuhnya pemandu bersaiz 7 inci dengan paparan pengecasan bateri EV dan maklumat lain, roda stereng kulit dengan butang fungsi tanpa pembesar suara serta kerusi material kulit dan fabrik.

ENJIN e-Smart Hybrid.
ENJIN e-Smart Hybrid.

Ia juga dengan sistem infotainmen dengan keterhubungan Bluetooth namun tanpa Apple CarPlay dan Android Auto.

Kerusi belakang jatuhan 60:40 bagi ruang yang lebih luas dari dari 303 liter pada ruang kargo selain jarak kelegaan jalan 185 milimeter (mm) pada kenderaan ini adalah lebih rendah 15 mm berbanding versi Turbo.

Untuk prestasi ia dijana dengan enjin 1.2 liter, WA-VEX Atkinson-cycle 3 silinder dengan kuasa 80 kuasa kuda (hp) dan tork 105Nm yang  berfungsi sebagai pengecas bateri hibrid ke motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan 104hp dan 170Nm.

Sistem e-Smart Hybrid ini menggunakan bateri lithium-ion yang terletak di bahagian bawah tempat duduk belakang dengan kapasiti 4.3 Ah yang direka untuk kereta kompak bagi menawarkan kos lebih mampu milik kepada pembeli.

RUANG kabin tampil keselesaan.
RUANG kabin tampil keselesaan.

Sepanjang menggunakan model ini penulis mencatatkan sekitar 23km untuk setiap 1 liter bahan api dengan pemanduan yang berhemah iaitu sekitar 110 km/j.

Menerusi tangki bahan api 33 liter (Turbo-36 liter) ia mampu menjangkau perjalanan sehingga 600 kilometer menggunakan kaedah itu selain itu juga dengan sistem pedal tunggal (S-PDL) yang boleh dinyahkan penggunaannya bagi prestasi lebih responsif.

Adakalanya enjin akan mengaum kuat bagi tujuan pengecasan bateri untuk tempoh beberapa saat dan akan kembali senyap selepas itu terutama ketika selepas enjin dihidupkan.

Ativa Hibrid ini juga dengan transmisi HEV Transaxle berfungsi sebagai penghantaran berubah-ubah berterusan dengan mengawal penjana dan motor.

Sudah pasti memandu hibrid bukanlah elemen prestasi menjadi taruhan kerana kelajuan maksimum sekitar 150 kilometer/sejam (km/j), namun ia lebih ke arah mobiliti lebih mesra alam dan efisien.

RIM 17 inci lima lubang skru.
RIM 17 inci lima lubang skru.

Ia juga dengan ciri keselamatan tambahan seperti Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC) dari sifar kelajuan (Ativa Turbo 30km/j ke atas) yang memudahkan penulis ketika menempuh kesesakan jalan raya dan lampu utama selekoh selain ciri yang sama menerusi Pakej Bantuan Pemanduan Pintar Perodua pada model sedia ada.

Secara keseluruhan selepas memandu uji Ativa Hybrid 1.2L S-HEV DVVT ini ia mengekalkan ciri dan gaya yang sama namun dengan nadi yang berbeza.

Enjin e-Smart hibrid bagi menawarkan kos lebih efisien buat lebih ramai boleh memiliki kenderaan hibrid yang dihasilkan oleh Daihatsu sebagai rakan strategik Perodua.

Selain bahan api, ciri teknologi ini juga membolehkan capaian jarak perjalanan lebih jauh dapat dilakukan selain membantu meringankan kos perjalanan.

Cuma model ini tidak didatangkan dengan kamera undur serta beberapa ciri lain dinyatakan di atas serta tiada tayar ganti namun dilengkapi kit baiki tayar kerana untuk memuatkan bateri lithium-ion.

Material fabrik untuk tempat duduk juga berbeza, selain penumpang hadapan didatangkan dengan fungsi pemanas dan bawah tempat duduk belakang terdapat ruang aliran udara bagi sejukan bateri.

Model ini juga dengan enam beg keselamatan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA), Kawalan Cengkaman (TRC) dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC).

Ativa Hybrid adalah satu permulaan kepada pengenalan model baharu yang menarik oleh Perodua dengan ciri kenderaan tenaga baharu (new energy vehicle) pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 6:10 AM