COROLLA Cross kini dengan varian hibrid.
COROLLA Cross kini dengan varian hibrid.
Lizam Ridzuan


TOYOTA Corolla Cross Hibrid Serba Baharu adalah penawaran terkini untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) crosover ciri mesra alam.

Dilancarkan baru-baru ini oleh UMW Toyota Motor (UMWT), ia juga adalah yang pertama untuk model hibrid Toyota yang dipasang di negara ini di atas platform baharu, Toyota New Global Acrhitecture (TNGA).

Vroom berkesempatan menyertai sesi pandu uji media untuk model Corolla Cross Hibrid ini dari Shah Alam ke Pulau Pinang anjuran UMWT. Antara ciri perbezaan ketara ialah enjin lebih senyap ketika dihidupkan.

Ini disebabkan ia dijana dengan sistem hibrid elektrik Toyota generasi keempat yang dipertingkatkan untuk kecekapan bahan bakar, kestabilan, pengendalian dan lebih pecutan responsif.

Dengan enjin 1,798cc petrol, 4 silinder selari, 16 injap DOHC dengan VVT-i, ia menghemburkan kuasa 98 PS pada 5,200 rpm dan tork 142Nm pada 3,600 rpm dengan transmisi E-CVT.

Menerusi bateri Nickel Metal Hydride, ia menjana 201.6 voltan. Pada masa sama, menerusi kuasa motor elektrik, ia menambah daya kuasa sebanyak 72 PS dan tork 163Nm.

Selain itu, fungsi sistem hibrid ini ia akan dihidupkan oleh kuasa elektrik daripada bateri dan ketika kenderaan pada kelajuan rendah.

Untuk pemanduan biasa, enjin dan motor akan dihidupkan serentak semasa bateri hibrid sedang dicas.

Ketika melakukan pecutan yang responsif, enjin petrol dan elektrik akan memberikan kuasa maksimum serentak dengan elektrik tambahan daripada bateri kenderaan elektrik hibrid (HEV).

Penulis dapat merasakan aliran kuasa keduanya ketika pendakian ke Terowong Menora di Lebuhraya Utara Selatan dengan kelajuan yang konsisten menjadikan kenderaan mudah melepasi laluan ini tanpa kehilangan kuasa.

Bateri akan dicas semula ketika membrek atau melepaskan pedal pecutan dan enjin akan dimatikan ketika berhenti untuk mengelakkan pembaziran bahan bakar.

ACARA pelepasan di Shah Alam.
ACARA pelepasan di Shah Alam.

Untuk rekaan, ia kekal sama dengan versi import sepenuhnya yang diperkenalkan pada Mac 2021 dan untuk hibrid, ia datang dengan elemen warna biru pada logo dan lampu utama bi-LED.

Lampu belakangnya berbentuk Light-Curtain ditambah dengan garis halus.

Selain itu, ia datang dengan rim aloi 18 inci, rel bumbung, logo hibrid pada sisi dan belakang kenderaan.

Untuk kabin, ia antaranya tersedia dengan pemain multimedia sembilan inci dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto.

CIRI ‘crossover’ aktif.
CIRI ‘crossover’ aktif.

Ia juga dilengkapi paparan pemandangan panaroma 3D bagi memudahkan pergerakan dalam kawasan sempit atau untuk memarkir.

Pada konsol tengah, disediakan perehat lengan gelungsur, ruang simpanan serta soket pengecasan selain tempat meletak cawan.

Roda stereng kulit pelbagai butang fungsi, paparan maklumat-pelbagai (MID) dan meter TFT tujuh inci yang berubah warna mengikut mod pemanduan dipilih menambah seri kenderaan ini.

Ruang kabin juga selesa dengan kedudukan bateri di bawah tempat duduk belakang.

RUANG Kabin ciri premium dan teknologi.
RUANG Kabin ciri premium dan teknologi.

RUANG but 440 liter.
RUANG but 440 liter.

Pintu but automatik juga boleh dibuka menggunakan pengesan pergerakan kaki.

Model Corolla Cross Hibrid ini didatangkan dengan empat mod pemanduan iaitu Sport, Eco, Normal dan EV.

Selain mesra alam, kelancaran dan bahan api efisien, ia juga didatangkan dengan sistem keselamatan menyeluruh Toyota Safety Sense (TSS) serta sistem bantuan pemandu Toyota Synergised Mobility.

TSS merangkumi Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Keluar Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng, Kawalan Pelayaran Radar Dinamik (DRCC), Bantuan Mengenal Pasti Lorong (LTA), Lampu Pancaran Tinggi Automatik (AHB) serta tujuh beg keselamatan SRS.

Penggunaan bahan api juga menjimatkan. Ia sekitar 23.3km bagi setiap liter. Dengan satu isian penuh dari Shah Alam, ia hanya membabitkan kos sekitar RM45 hingga RM50 dan masih berbaki ketika tiba ke Pulau Pinang.

Lima pilihan warna ditawarkan, celestite kelabu metalik, perak metalik, merah mica metalik, nebula biru metalik dan platinum putih mutiara.

ENJIN gabungan petrol dan motor elektrik.
ENJIN gabungan petrol dan motor elektrik.

Untuk pasaran Malaysia, Toyota Corolla Cross Hibrid Serba Baharu dijual pada harga RM136,550 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan lima tahun pengeluar dan lapan tahun untuk pek bateri hibrid tanpa had perbatuan ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 6:01 AM