SISI mewah pemanduan yang dapat dinikmati pemilik Civid e:HEV RS. FOTO Owee Ah Chun
SISI mewah pemanduan yang dapat dinikmati pemilik Civid e:HEV RS. FOTO Owee Ah Chun
Nurul Husna Mahmud


APA yang diharapkan daripada kenderaan hibrid?

Pasti antaranya ialah pemanduan senyap, pantas serta lancar.

Terkini, Honda memperkenalkan Civic generasi ke-11 melalui model Civic e:HEV RS 2.0L yang dijual pada harga RM166,500.

Kuasa luncuran bagi model ini juga pasti lebih bertenaga.

Sistem hibrid penuhnya menggunakan kombinasi harmoni enjin empat silinder dipasangkan dengan dua motor elektrik (transmisi e-CVT & Intelligent Power Unit (IPU).

Ia menggunakan mekanisme sama, seperti sistem 1.5L i-MMD pada model City dan HR-V hibrid iaitu enjin petrol yang dibekalkan berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri.

Pemanduan berkuasa itu memastikan pemandu menikmati output kuasa maksimum 184PS dan tetapan penanda aras tork 315Nm yang mendahului segmennya, setanding dengan model segmen D.

Hal itu sudah dijangka apabila Honda dilihat sebagai pendahulu dalam senarai pembuat kenderaan, terutama peneraju dalam teknologi pembuatan kenderaan hibrid.

Populariti model RS e:HEV juga dilihat bakal menarik perhatian peminat kenderaan mesra alam.

Ini kerana, ia turut tampil dengan beberapa spesifikasi baharu termasuk perincian khas tidak pernah ditawarkan dalam mana-mana model sebelum ini.

Penambahan komponen, dijangka membabitkan bateri lithium-ion 72-sel 1.05 kWj dengan berat keseluruhan lebih 30 kilogram dan diletak dalam ruang enjin, dijangka memberi bebanan tambahan kepada varian ini.

CIRI elegan dan teknologi pada ruangan kabin. FOTO Owee Ah Chun
CIRI elegan dan teknologi pada ruangan kabin. FOTO Owee Ah Chun

Namun, ia sedikit pun tidak menjejaskan dinamik pengendalian dan pemanduan atas jalan, menurut Ketua Projek Utama Civic e:HEV RS berpangkalan di Jepun, Tomoyuki Yamagami.

Setiap kit pada kenderaan ini menyuntik elemen sporty dan ranggi terutama pada perincian seremeh logo RS pada gril hadapan dan 'spoiler' belakang yang menggunakan kemasan hitam berkilat.

Rim kereta ini juga menarik dengan kemasan dwi tona. Ia tampak mewah dan tegap.

Kemasan krom juga melengkapi gril hadapan, bezel dalam lampu hadapan dan bahagian tingkap sisi.

Spesifikasi eksklusif juga diketengahkan untuk varian hibrid Civic ini seperti kunci pintar khas dalam bentuk kad berbanding penggunaan sistem 'remote'.

Bakal pemilik varian ini bakal menikmati skrin infotainmen display audio sembilan-inci dengan sokongan Apple CarPlay tanpa wayar serta penghidup enjin jarak jauh.

Paparan instrumen digital 10.25-inci dan pengecas tanpa wayar Qi juga antara inovasi terbaharu dalam ruang dalaman kereta ini.

Ciri keselamatan iaitu sistem bantuan pemanduan Honda Sensing juga antara sisi mewah pemanduan yang dapat dinikmati pemilik Civid e:HEV RS.

Pemandu juga dibantu antaranya dalam pengendalian brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, isyarat amaran keluar laluan serta lampu tinggi automatik.

Varian ini menawarkan empat pilihan warna iaitu Ignite Red, Meteoroid Gray, Platinum White Pearl dan Crystal Black Pearl.

Pembeli juga menikmati perlindungan membabitkan jaminan pengeluar selama lima tahun dan manfaat lain berdasarkan terma serta syarat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 7:00 AM