Nurul Husna Mahmud


Kuala Lumpur: Honda Malaysia meletakkan sasaran jualan sebanyak 1,600 unit sebulan bagi model terbaharu yang dilancarkan iaitu Honda HR-V Serba Baharu.

Model baharu itu ditawarkan dengan empat varian iaitu S yang dijual pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RM114,800, varian E (dari RM129,800) manakala varian V (dari RM134,800), dan varian paling unik e:HEV RS boleh dimiliki dengan harga bermula RM140,800.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, sejak tempahan dibuka pada Jun lalu model itu menerima sambutan luar biasa.

"HR-V Serba Baharu menerima lebih daripada 20,000 tempahan setakat ini. Maklum balas menggalakkan dan permintaan tinggi terhadap model ini.

"Berikutan sambutan menggalakkan, tempoh menunggu bagi HR-V Serba Baharu mungkin mengambil masa sehingga 12 bulan bergantung kepada ketersediaan varian yang ada.

Honda HR-V Serba Baharu. - FOTO Owee Ah Chun.
Honda HR-V Serba Baharu. - FOTO Owee Ah Chun.

"Pihak Honda Malaysia mengambil langkah terbaik untuk memendekkan tempoh menunggu pelanggan bagi memastikan pengalaman pemanduan luar biasa," katanya pada majlis pelancaran di sini, hari ini.

Rekaan luar HR-V Serba Baharu menerima pembaharuan menyeluruh terutama aspek estetik apabila bahagian depannya didominasi oleh Rekaan Baharu Sporty Gril Hadapan, sementara rekaan belakangnya dihiasi Jalur Lampu LED.

Pertama kali diperkenalkan kepada teknologi model City dan City Hatchback, teknologi e:HEV menerima sambutan menggalakkan apabila ia dilanjutkan pada HR-V RS Serba Baharu.

Difahamkan 20 peratus daripada tempahan diterima adalah bagi varian e:HEV RS melangkaui lima peratus sasaran awal Honda Malaysia terhadap varian terbaharu itu.

Katanya, majoriti tempahan ketika ini didominasi oleh varian V iaitu model yang menawarkan pengalaman pemanduan berprestasi dan mengujakan apabila pilihan enjin 1.5L VTEC Turbo menawarkan teknologi, enjin pengecas turbo yang mampu menghasilkan kuasa 181PS dan 240 Nm tork bagi pemanduan lebih responsif dan mengujakan.

HR-V Serba Baharu ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu merah (Ignite Red Metallic), kelabu (Meteoroid Gray Metallic), putih mutiara (Platinum White Pearl), perak (Lunar Silver Metallic) dan hitam (Ruse Black Metallic).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 3:13 PM
Honda HR-V Serba Baharu. - FOTO Owee Ah Chun.
Honda HR-V Serba Baharu. - FOTO Owee Ah Chun.