HONDA CITY kekal pendahulu sedan segmen-B bukan nasional.
HONDA CITY kekal pendahulu sedan segmen-B bukan nasional.
HM Digital

Sebagai kenderaan jenama bukan nasional paling laris untuk sedan segmen-B pada tahun lalu, Honda City menawarkan ciri yang sesuai untuk pelbagai tujuan mobiliti.

Tampil dengan gaya dan ciri lebih elegan, ia ditawarkan dengan lima pilihan varian berserta dua pilihan enjin iaitu 1.5 liter Petrol dan 1.5 liter e:HEV hibrid.

Vroom berpeluang memandu uji Honda City 1.5L e:HEV hibrid dan ia juga adalah varian tertinggi untuk model itu dalam pasaran di negara ini.

Mengenai reka bentuk, ia masih kekal dengan ciri DNA City dan untuk varian ini tampil ciri gril honetcomb yang tampil berbeza selepas model baharu 2023 yang dilancarkan pada Ogos 2023 dengan terdapat logo RS terkini pada bahagian hadapan serta belakang dengan bampar dan diffuser.

Ia juga dengan cermin sisi hitam serta padanan rim aloi bersaiz 16 inci dan logo Honda yang terdapat lingkaran biru bagi melihatkan ia sebagai model hibrid.

Untuk rekaan kabin, dengan papan pemuka ringkas dan mudah menyentuh butang larasan selain terdapat jalur dan jahitan merah pada roda stereng serta kerusi.

Ia juga dengan sistem infotainment bersaiz lapan inci dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto serta berfungsi sebagai kamera undur dan untuk pemandu dengan paparan meter TFT bersaiz 7 inci digital dan analog untuk pelbagai fungsi dipaparkan.

Terdapat dua pengecas USB hadapan dan belakang jenis-C dan corong pendingin hawa untuk penumpang belakang, kerusi yang selesa balutan kulit dengan fungsi jatuhan 60:40 untuk menawarkan ciri praktikal dan tambahan ruang.

Paling menarik ruang but 410 liter (519 liter untuk varian lain) sangat luas untuk membawa bagasi atau barangan keperluan lain sesuai buat yang bujang atau sudah berkeluarga.

Memandu Honda City ini juga dengan enjin 1.5L e:HEV 4 silinder, 16 injap, DOHC, i-VTEC (Atkinson Cycle) menawarkan bukan sahaja prestasi enjin yang mantap dalam kelasnya dengan kuasa 121PS pada 5,600rpm dan tork 253Nm pada 4,500rpm yang dibantu dengan motor tunggal dan bateri Lithium-ion dengan kapasiti 1.3kWj.

Menerusi transmisi eCVT automatik Intelligent Multi-mode Drive(i-MMD) pacuan roda hadapan ia menawarkan kelancaran dan penggunaan bahan api lebih baik serta kelajuan maksimum sehingga 177 kilometer/sejam(km/j).

Sebagai model hibrid, penggunaan enjin dan motor elektrik adalah bergantung kepada keperluan tenaga yang ingin disalurkan mengikut keadaan permukaan jalan.

Untuk itu penulis mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 21.6km untuk setiap liter dengan satu isian penuh 40 liter ia mampu menjangka sehingga 700km adalah satu kelebihan terbaik dalam kelasnya.

RUANG kabin kemasan merah dan kulit.
RUANG kabin kemasan merah dan kulit.

KERUSI penumpang belakang selesa.
KERUSI penumpang belakang selesa.

ENJIN hibrid 1.5L e:HEV.
ENJIN hibrid 1.5L e:HEV.

Memandu pada pelbagai kelajuan juga adalah stabil dengan ciri Kebisingan, Gegaran dan Kekasaran (NVH) juga ditambah baik untuk kabin lebih senyap.

Terdapat mod pemanduan Eco mencapai penggunaan bahan api lebih efisien bagi disesuaikan dengan gaya pengendalian dan tujuan sesuatu perjalanan itu.

Sistem keselamatan terbaik dengan 6 beg keselamatan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Pengagihan Kuasa Brel (EBD), Kawalan Kestabilan, Honda Lane Watch dan 9 ciri Honda Sensing juga terdapat pada model ini.

Secara keseluruhan Honda City e:HEV RS menawarkan sedan dalam segmen-B yang kekal menjadi pilihan ramai dan varian ini menawarkan ciri hibrid dengan keupayaan bahan api menjimatkan adalah faktor utama.

Selain itu dengan ciri kemasan yang lebih elegan, faktor keselesaan dan ruang kabin lebih praktikal menjadikan pilihan pembeli selain faktor nilai lebih baik untuk kenderaan terpakai kelak.

Sebagai model varian teratas Honda City e:HEV RS ia ditawarkan dengan harga RM111,900 (atas jalan tanpa insurans) dilihat agak tinggi untuk segmen-B, namun dengan kecekapan bahan apinya itu adalah faktor kelebihan untuk jangka masa panjang bagi memilikinya.

SPESIFIKASI

HONDA CITY e:HEV RS 2023

Enjin: 1,498cc e:HEV 4 silinder, 16 injap, DOHC, i-VTEC (Atkinson Cycle)

Kuasa maksimum: 121PS pada 5,600rpm

Tork maksimum: 253Nm pada 4,500rpm

Transmisi: Tork 253Nm pada 4,500rpm

Kapasiti tangki petrol: 40 liter

Ciri keselamatan: 6 beg keselamatan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Pengagihan Kuasa Brel (EBD), Kawalan Kestabilan, Honda Lane Watch dan 9 ciri Honda Sensing.

Harga: RM111,900 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 6:54 AM