ANTARA jentera yang mengambil bahagian.
ANTARA jentera yang mengambil bahagian.
ANTARA motosikal klasik yang mencuri tumpuan.
ANTARA motosikal klasik yang mencuri tumpuan.
KHAIRUL Ilhami (dua kiri) bersama barisan VVIP teruja melihat keunikan kereta dipamerkan.
KHAIRUL Ilhami (dua kiri) bersama barisan VVIP teruja melihat keunikan kereta dipamerkan.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Beberapa jentera klasik dan retro yang diubah kepada konsep unik dan berbeza menjadi tarikan 10,000 pengunjung ke Perak Retro Fest 2017 di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) pada 26 dan 27 Ogos lalu.

Dalam festival itu hampir 1,000 jentera dengan keunikan gaya ubah suai tersendiri dipamerkan. Antara yang menjadi tarikan adalah Volkswagon Beetle berkarat dan diubah suai kepada konsep Chop Top.

Selain rupanya yang berkarat serta dipenuhi tulisan dan tandatangan peminat, sebenarnya jentera ini berkonsep moden yang mana bahagian dalamannya dimasukkan pelbagai aksesori terbaru.

Berikutan keunikannya, ia menambat hati juri khas Datuk Rizal Mansor yang diundang bersama Ketua Umno Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat dan Ketua Pemuda Bagan Serai, Nazirul Jamaludin untuk dinobatkan juara keseluruhan sebagai Best Of The Best acara berkenaan.

Selain itu, beberapa motosikal unik seperti Vespa, Lambretta, BSA dan pelbagai lagi model retro turut mencuri tumpuan umum.

Namun sebuah motosikal tahun 1980-an Honda CG125 yang diubah suai kepada konsep Cafe Racer menjadi pilihan BMLR mengungguli Best Of The Best kategori motosikal.

Acara Perak Retro Fest 2017 dianjurkan GM Event Management dengan kerjasama BMLR turut mendapat sokongan pelbagai penaja termasuk Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen Bagan Serai (SRCC) serta Kelab Sukan, Rekreasi dan Perlancongan Bagan Serai.

Pengarah GM Event Management, Khairul Ilhami Mohamad Hassan berkata, penerimaan peserta dan pengunjung yang ramai jelas membuktikan kereta lama, klasik dan retro ini masih mempunyai tarikan tersendiri khususnya golongan belia.

Perkara ini jelas membuktikan program sebegini mempu menarik ramai golongan muda atau belia dalam meminati sukan permotoran.

“Kata-kata kereta lama untuk orang-orang lama tidak lagi sesuai digunakan di mana pembabitan peserta dari tahun ke tahun termasuk hari ini, hampir 95 peratus membabitkan golongan belia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Kumpulan Resort Bukit Merah , Mohamad Mukhriz Mohamad Roslan berkata, penganjuran selama dua hari itu berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung ke BMLR sekali gus menjadikan jumlah kunjungan terbesar taman tema itu pada tahun ini.

Menurutnya, sepanjang acara itu diadakan dan bersempena hari kemerdekaan, pelbagai pakej menarik disediakan pihaknya malah bercadang untuk menjadikannya acara tahunan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 12:00 AM