KEKAL asli.
KEKAL asli.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Jenama Mini dihasilkan oleh British Motor Corporation (BMC) dengan menghasilkan beberapa model dan varian yang berbeza. Pada Ogos 1959, Mini dipasarkan dengan nama Austin dan Morris malah ia turut dikenali sebagai Austin Seven serta Morris Mini-Minor.

Pada 1962, nama-nama itu ditukar dan mengekalkan satu nama iaitu Mini dengan beberapa varian berbeza seperti Mini Van, Mini Pick-up, Mini Moke (yang berbentuk mirip Jeep) dan Mini Clubman.

Namun yang paling terkenal adalah Mini Cooper sehingga wujudnya minat peniaga dari Bagan Serai, Perak iaitu L Eleish Kumar, 32, atau lebih dikenali sebagai ‘Goldfingers’ melakukan restorasi seperti keluaran asal dari kilang terhadap jentera yang dimiliknya dua tahun lalu.

Dibeli dalam keadaan seperti besi buruk, jentera terbabit dibina semula di bengkel khas Mini di Taiping, Perak dengan proses restorasi yang memakan masa lebih enam bulan dimulakan dengan kerangka badan yang diperkukuhkan sebelum proses mengecat dilakukan.

Sejurus kerangka siap dibina, pelbagai aksesori asal dibeli dari laman sesawang E-Bay termasuk dari negara Eropah dipasang bagi menggantikan komponen asal seperti bampar, stereng, cermin sisi, jeriji krom, kit penahan beban krom dan sebagainya.

Proses restorasi bahagian dalaman jentera dilakukan yang mana pemilik membalut kerusi Mini Mark 1 dengan material PVC berwarna putih bagi memberi kelainan, dapra pada bahagian atas tayar dipasang bagi menampakkan jentera terbabit lebih mantap.

Set Rim Banana iaitu bentuk asal bersaiz 13 inci dipadankan pada jentera terbabit dengan tayar Yokohama dan seterusnya bahagian enjin pemilik menaik taraf kepada yang bersesaran 1,300 cc.

Sedikit ubah suai pada bahagian kotak gear dan komponen dalaman enjin apabila jentera ini mampu bergerak lancar tanpa sebarang masalah dan mampu mencatat kelajuan maksimum melebihi 170 kilometer sejam (km/j) selain sistem ekzos binaan khas menjadikan jentera ini lebih berkuasa di jalanan.

Kestabilan jentera dikawal suspensi asal manakala untuk menghentikan jentera ini, sistem brek cakera daripada model Mini Cooper S, dipasang pada bahagian hadapan manakala di belakang masih menggunakan sistem dram.

Restorasi yang menelan kos lebih RM25,000 tampak berbaloi apabila ramai individu ‘melamar’ jentera ini dengan pelbagai harga hingga mencecah RM50,000 namun beliau belum mahu menjualnya lagi.

Selain itu pemilik yang juga ahli kelab Stingers Motorclub dan Northern Classic Car Club berbangga apabila jenteranya yang julung kali dipamerkan di Perak Retro Fest di Bukit Merah Laketown Resort baru-baru ini, mendapat perhatian juri apabila memenangi tempat pertama kategori Best Mini menewaskan lebih 10 jentera serupa di Karnival berkenaan.

SPESIFIKASI:

Mini Cooper 1.3 Racing Spec 1973

- Enjin asal dinaik taraf dengan kemasan krom

- Kotak gear dinaik taraf

- Rim Banana 13 inci

- Dapra binaan khas

- Kerusi Mini Mark 1 balut material khas

- Brek Cakera Mini Cooper S hadapan dan sistem brek dram di belakang

- Ekzos binaan khas

Kelab: Stingers Motorclub dan Northern Classic Car Club

Kos Modifikasi: RM 25,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2016 @ 5:02 AM