Fatin Farhana Japre

Seramai 40,000 peminat kenderaan kustom dan binaan khas tidak melepaskan peluang menyaksikan pameran jentera dua dan empat roda yang mengetengahkan seni di Art of Speed (AOS) 2017 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Pameran kenderaan selama dua hari anjuran Initium Sdn Bhd ini berjaya menarik penyertaan dari seluruh negara dengan mengumpulkan 200 kereta, 200 motosikal dan lapan basikal yang diubah suai secara ekstrem.

Berkonsepkan Old-Skool dan Kustom Kulture, pelbagai aktiviti serta tetamu jemputan khas disusun buat peminat kereta dan motosikal dapat bertemu nama besar dalam komuniti ini seperti Jeff Holt daripada Hot Bike Magazine dan David ‘Chopperdave’ Freston (Amerika Syarikat), Shige Suganuma & Wildman daripada Mooneyes (Jepun) dan banyak lagi.

Antara aktiviti menarik sepanjang acara besar ini ialah demo drift, bengkel seni, jualan bazar, pertandingan BMX, pertandingan papan luncur yang dikelolakan House of Vans dan mengunjungi produk Hot Wheels.

Pengasas AOS, Asep Ahmad Iskandar berkata, program yang memasuki tahun keenam ini bertujuan memberi peluang peminat seni automotif ‘bertemu dua mata’ dengan beberapa legenda kustom dan

binaan khas antarabangsa seperti Cole Foster daripada Salinas Boys Custom Cars & Bikes selain berkongsi pendapat dan idea untuk mengubah suai kenderaan masing-masing.

“Kejayaan menarik 40,000 pengunjung dari seluruh negara dalam masa dua hari saja menjadikan MAEPS sebagai lokasi tahunan acara AOS Malaysia.

“AOS menjadi tumpuan bukan saja kerana pameran kenderaan yang diubah suai malah diselitkan dengan aktiviti interaktif, galeri seni dan pertunjukan aksi.

“Malah untuk mengekalkan tradisi acara AOS, kami ‘menjamu’ pengunjung dengan membawa masuk tiga kenderaan binaan khas dari Jepun iaitu 1975 Harley Davidson FL (Hide Motorcycles), 1981 Ironhead Sportster (Gen Love Art) dan 1949 Customised Ford Shoebox (Kustomstyle),” katanya.

Beliau berkata, AOS 2017 turut mempertandingkan lebih 10 kategori antaranya Best of Mega Car, Best of Marketplace, Best of Motorcycle Display, Best of Car Display, Best of Show Automobile, Best of Show Motorcycle, Show & Shine, Best Paint, Best Cafe Racer, Best Fabrication, Best of Drag Car dan banyak lagi.

Pengunjung, Mustakim Saburi, 21, berkata dia teruja untuk mengunjungi acara besar ini untuk kali kedua berturut-turut.

“Saya memang peminat kereta dan motosikal retro yang diubah suai kerana sangat unik serta tinggi nilainya. Malah saya memiliki dua motosikal retro iaitu Honda C70 dan Honda Fame.

“Buat masa sekarang tidak mungkin saya dapat memiliki kenderaan kustom ini, jadi menerusi acara begini saya cari idea untuk diguna pakai pada kenderaan kepunyaan saya suatu hari nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 1:03 AM
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang mengunjungi AOS 2017.
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang mengunjungi AOS 2017.
ANTARA motosikal yang diubah suai.
ANTARA motosikal yang diubah suai.
 PENGUNJUNG mengambil peluang bergambar dan melihat motosikal kustom secara lebih dekat.
PENGUNJUNG mengambil peluang bergambar dan melihat motosikal kustom secara lebih dekat.
 ASEP (tengah) bergambar bersama kru Art of Speed 2017.
ASEP (tengah) bergambar bersama kru Art of Speed 2017.
SUASANA di pameran kenderaan Art of Speed 2017.
SUASANA di pameran kenderaan Art of Speed 2017.