SENTUHAN pemiliknya mencetuskan gaya unik.
SENTUHAN pemiliknya mencetuskan gaya unik.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Yamaha 135 LC adalah motosikal yang dikatakan sangat popular dan menerima sambutan hangat di pasaran Asia Tenggara khususnya negara ini.

Jentera bersesaran 135cc dilancarkan pada 2006 di Malaysia hadir dengan dua varian iaitu 135 LC dan 135 LC Klac.

Kehadirannya seolah-olah memberi satu impak besar kepada industri jentera dua roda di negara ini yang mempunyai aura hebat terutama reka bentuknya sporty serta tahan lasak.

Di Pulau Pinang, lain pula ceritanya di mana Yamaha 135 LC diubah suai dengan binaan khas yang khusus untuk pameran sahaja.

Reka bentuk unik diilhamkan pemiliknya, Muhamad Shamsul Muhamad Nasarudin, 23, menjadikan jentera keluaran 2010 sentiasa menjadi bualan ahli kelab serta kerap mencuri tumpuan ketika dipertandingkan.

Ini kerana reka bentuk asalnya diubah 100 peratus seolah-olah kelihatan seperti ‘superbike’.

Proses modifikasi itu bermula beberapa tahun lalu apabila pemiliknya yang meminati reka bentuk motosikal berkuasa tinggi Kawasaki Ninja 250 dan Yamaha R25 mula mencari ilham untuk menampakkan jenteranya kelihatan sedemikian.

Sejurus mengetahui ada set badan Yamaha R25 N250 Hybrid (V2) yang kelihatan seperti Superbike, pemilik sanggup melaburkan hampir RM2,000 untuk membelinya dari laman sesawang negara jiran iaitu Indonesia.

Bukan itu sahaja, pelbagai aksesori pada jentera turut digunakan bagi memberi imej yang berlainan.

Antara yang mencuri tumpuan adalah lampu hadapan Yamaha Lagenda menjadikan jentera ini tampil lebih garang jika dilihat dari sudut hadapan.

Selain itu penyerap hentak hadapan direndahkan supaya tampak bergaya, selain tempat duduk dibina khas serta dihiasi pelekat khas bagi tampak menawan.

Jentera itu masih menggunakan enjin asal, tetapi dinaik taraf dengan karburetor UMA Racing untuk meningkatkan lagi kuasanya.

Sistem rangkaian kuasanya terus dipertingkatkan lagi dengan ekzos berkembar, selain brek cakera hadapan menggunakan jenama Nisin.

Pelbagai aksesori lain turut digunakan membabitkan lengan ayunan tunggal NSR SP 250, meter RPM Koso, Meter digital UMA Racing dan brek Racing Boy untuk membuatkan lebih bergaya.

Namun, kelebihan jentera ini adalah sistem pendawaian serta pemasangan aksesori termasuk cat dilakukan sendiri pemilik tanpa membabitkan bengkel khas.

Biarpun kos modifikasi menelan belanja lebih RM8,000, Muhamad Shamsul berpuas hati dengan pencapaiannya sepanjang menyertai pertandingan.

Selain kerap menjuarai pertandingan, motosikal itu pernah terpilih dalam kategori ‘Best Of The Best’ mengalahkan hampir 100 buah jentera klasik dan modifikasi di Bagan Serai, Perak beberapa bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2016 @ 5:01 AM