Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Serdang: "Saya sudah beritahu isteri untuk berhenti menjala kerana sudah dapat banyak ikan namun isteri saya menolak," kata Ahmad Suriady, 40.

Dia antara dua individu terselamat dalam kejadian kepala air di sebuah sungai di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, di sini, semalam.

Ahmad Suriady berkata, kejadian itu mengorbankan isteri dan dua anaknya manakala seorang lagi masih hilang akibat dihanyut arus deras.

Menurutnya, kejadian berlaku amat pantas ketika dia sekeluarga menjala ikan di kawasan berkenaan.

"Kami dari rumah di Pinggiran Putra pada jam 3 petang, lama juga kami menjala dan sudah mendapat banyak ikan.

"Saya beritahu isteri untuk pulang, namun dia minta saya menjala lagi sebelum arus deras tiba-tiba datang.

Saya menjerit meminta mereka semua menyelamatkan diri namun ada antara mereka tergelincir dan hanyut bersama arus," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Ahmad Suriady yang berasal dari Lombok, Indonesia berkata, ini adalah kali pertama dia dan keluarga menjala di kawasan berkenaan.

"Saya tidak sangka ia berakhir begini, saya kini sedang berbincang dengan keluarga berhubung proses pengebumian jenazah.

"Saya juga berharap anak bongsu saya yang berusia empat tahun yang masih lagi hilang ditemui dengan selamat," katanya.

ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mencari dua mangsa selepas hanyut dalam kejadian kepala air di sungai di Jalan KP 4/9 Kota Perdana. FOTO Aizuddin Saad
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mencari dua mangsa selepas hanyut dalam kejadian kepala air di sungai di Jalan KP 4/9 Kota Perdana. FOTO Aizuddin Saad

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mayat wanita jam 12.17 tengah hari tadi.

Menurutnya, mayat ditemui di Lombong D'Island berhampiran Taman Lacattage, Putra Perdana dianggarkan 10 kilometer daripada lokasi hilang.

"Pada jam 1.20 tengah hari pihak penyelamat menaikkan mayat.

"Bagaimanapun pencarian anak mangsa (berusia empat tahun) masih dalam misi pencarian," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan kegembiraan lima beranak berakhir tragedi apabila empat daripada mereka dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan dalam kejadian kepala air di sebuah sungai di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, di sini.

Dalam kejadian pada jam 4.35 petang itu, hanya bapa mangsa yang terselamat.

Bapa memaklumkan terdapat tiga kanak-kanak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan serta isterinya lemas di sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 2:57 PM