Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan turun ke lokasi kejadian lemas di saliran longkang monsun (Monsoon Drain) di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan. FOTO Muhamad Hafis Nawawi
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan turun ke lokasi kejadian lemas di saliran longkang monsun (Monsoon Drain) di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan. FOTO Muhamad Hafis Nawawi
Muhaamad Hafis Nawawi


Serdang: Arus deras secara tiba-tiba di saliran longkang monsun (Monsoon Drain) di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan, menyebabkan lima beranak yang berada di atas simen tergelincir sebelum terjatuh dan hanyut.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, berdasarkan keterangan lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun yang terselamat, dia datang ke situ untuk memancing dan menjala sekitar jam 3.30 petang.

Menurutnya, pada ketika itu cuaca masih baik dan belum hujan namun sekitar jam 5 petang air tiba-tiba deras dari Monsoon Drain.

"Mereka anak beranak ketika itu berada di atas simen terjatuh ke dalam air seperti air terjun sedalam kira-kira 1.2 meter.

"Suaminya terselamat manakala isteri berusia 38 tahun dipercayai dihanyut masih belum ditemui," katanya pada sidang media di lokasi kejadian malam ini.

Anbalagan berkata, lelaki itu yang terselamat kemudian membuat panggilan ke 999 meminta bantuan.

"Anak lelaki kedua mangsa berusia sembilan tahun ditemui selamat apabila sempat menyelamatkan diri dengan naik ke sebelah kanan sebelum ditemui orang awam pada jam 5.30 petang.

"Mayat anak sulung mangsa berusia 10 tahun pula ditemui satu kilometer di tebing lalang dari lokasi terjatuh, sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, usaha masih dijalankan untuk mengesan isteri mangsa dan anak perempuanya berusia empat tahun.

"Lelaki terbabit sudah 10 tahun tinggal di negara ini dengan kerja kontrak namun tidak tetap.

"Dia memberitahu sudah dua ketiga kali datang ke sini untuk memancing sebelum hasil tangkapan akan dijual bagi sumber pendapatan tambahan," katanya.

Katanya, kawasan ini bukan tempat memancing namun ada individu yang datang ke sini menangkap ikan untuk dijual.

"Lelaki terbabit cedera sedikit akibat terkena pokok namun tidak serius manakala anaknya yang terselamat tidak mengalami kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 11:31 PM