Muhaamad Hafis Nawawi


Serdang: Anak sulung kepada keluarga yang dihanyut air deras di Saliran Longkang Monsun (Monsoon Drain) di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan dekat sini, petang tadi sudah ditemui.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemui pada jam 7.01 malam tadi.

"Mangsa ditemui oleh anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira satu kilometer (km) dari lokasi mangsa dihanyutkan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kesemua mangsa adalah warga Indonesia dan SAR kini menumpukan pencarian dua lagi mangsa masih hilang iaitu seorang wanita berusia 38 tahun dan anak perempuannya berusia empat tahun.

Pada jam 5.18 petang tadi, seorang daripada empat mangsa yang dilaporkan hanyut dalam kejadian itu, iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemui selamat oleh orang awam.

Terdahulu, MERS 999 menerima laporan kejadian pada jam 4.35 petang daripada seorang lelaki berusia 40 tahun memaklumkan isteri serta tiga anak, berusia antara empat anak berusia empat hingga 10 tahun dihanyutkan arus deras.

Lima sekeluarga itu dikatakan sedang menjala di kawasan sungai terbabit sebelum tiba-tiba air deras melanda kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 9:23 PM