BANTUAN melalui kutipan derma oleh rakyat Malaysia disalurkan kepada ribuan mangsa banjir di Afghanistan
BANTUAN melalui kutipan derma oleh rakyat Malaysia disalurkan kepada ribuan mangsa banjir di Afghanistan
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Tidak dapat disangkal kebaikan dan sifat empati rakyat Malaysia.

Ini terbukti apabila bantuan awal hampir RM50,000 berjaya dikumpulkan dalam tempoh singkat bagi disalurkan kepada ribuan mangsa banjir besar di Afghanistan.

Bantuan kecemasan sumbangan rakyat Malaysia itu diserahkan kepada pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) sejurus bencana besar itu menimpa negara berkenaan 23 Julai lalu.

Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu ribuan mangsa banjir besar yang melanda ibu kota Kabul, wilayah Maidan Wardak dan Ghazni di barat Kabul, Afghanistan.

Menurutnya, sebaiknya mendapat maklumat berhubung bencana yang mengorbankan berpuluh nyawa serta memusnahkan ribuan kediaman, MCM segera menggerakkan usaha mengumpul sumbangan untuk disalurkan kepada mangsa di negara berkenaan.

"MCM bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) Humanitarian Assistance Society (HAS) di negara itu bagi mengumpul bantuan awal membabitkan makanan seperti beras, tepung, gula, minyak masak, kekacang dan lain-lain lagi.

"Bantuan awal ini diharap mampu membolehkan ribuan mangsa banjir bertahan bagi tempoh lebih sebulan. Banjir yang berlaku memusnahkan kediaman dan tanaman ladang sekaligus mencetuskan isu kebuluran," katanya.

Zulkifli berkata, bantuan makanan itu sudah disalurkan HAS kepada 175 keluarga mangsa di wilayah Maidan Wardak Khamis lalu.

"Bekalan makanan kering disumbangkan itu mampu menampung kegunaan 1,225 mangsa banjir yang kini terputus bekalan makanan.

"Ia bukan hanya soal tanggungjawab dan bantuan kemanusiaan, namun ia membabitkan isu bantuan kepada saudara seagama yang diuji musibah. MCM akan meneruskan usaha membantu penduduk miskin di sana," katanya.

Menurutnya, bencana dahsyat terbaru di Afghanistan itu menambahkan lagi krisis kemanusiaan sedia ada selepas negara berkenaan pernah dilanda banjir besar, musim sejuk melampau dan gempa bumi pada Jun tahun lalu,

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Muslim Care Malaysia melalui nombor akaun Maybank (564490413882), Bank Islam (14014010147470) atau menghubungi talian 0169978323 (Johari Ismail), 0134886447 (Ahmad Safwan) atau 0192049434 (Zuriati Ya'akob) untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 7:02 AM