MUSLIM CARE MALAYSIA berusaha memberikan bantuan kepada rakyat Afghanistan yang dicengkam kemiskinan.
MUSLIM CARE MALAYSIA berusaha memberikan bantuan kepada rakyat Afghanistan yang dicengkam kemiskinan.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Gombak: Krisis peperangan, kemarau dan keadaan politik Afghanistan tidak menentu sejak Taliban mengambil alih kuasa antara faktor majoriti rakyat di negara itu hidup di bawah garis kemiskinan.

Keadaan diburukkan lagi apabila bantuan kemanusiaan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sukar disalurkan kepada 18 juta rakyat negara yang masih bergantung kepada bantuan luar.

Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan berkata, selama 40 tahun Afghanistan menghadapi krisis peperangan yang panjang mengakibatkan banyak kemusnahan harta benda, kecederaan, kehilangan jiwa, kehilangan pekerjaan, terputus bekalan makanan dan sebagainya.

"Keadaan menjadi kian tidak menentu sejak ibu negeri Afghanistan, Kabul, diambil alih Taliban pada 15 Ogos lalu diikuti pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara bergolak itu," katanya.

Menurutnya, kurangnya pendedahan media antarabangsa menyebabkan masyarakat dunia tidak mendapat maklumat sebenar berhubung penderitaan dialami penduduk termasuk jutaan kanak-kanak di Afghanistan.

Susulan itu Muslim Care Malaysia Society mula menjalankan kempen kesedaran terhadap isu Afghanistan dengan mengadakan sesi Webinar mengenai keadaan terkini negara itu.

"Malah kami turut melancarkan kutipan dana bantuan kemanusiaan khusus untuk rakyat Afghanistan melalui media sosial dan portal berita tempatan.

"Pihak kami menyasarkan jumlah kutipan awal sebanyak RM1 juta yang akan diagihkan dalam bentuk bantuan makanan dan keperluan asas kepada rakyat di negara itu yang terjejas teruk di setiap wilayah.

"Sasaran kami, bantuan kecemasan ini mampu diterima oleh mangsa peperangan, memenuhi keperluan mendesak golongan wanita dan kanak-kanak selain meredakan emosi penduduk yang terjejas.

"Syukur, setakat semalam, rakyat Malaysia memperlihatkan rasa prihatin apabila sebanyak RM200,000 berjaya dikumpulkan dalam tempoh singkat," katanya yang pernah dianugerahkan sebagai Duta Muhibah bagi rakyat Palestin sebelum ini.

Zulkifli berkata, misi kemanusiaan kali ini memfokuskan bantuan berbentuk keperluan mendesak bagi membolehkan penduduk Afghanistan menghadapi musim sejuk yang akan tiba.

"Antaranya bantuan air bersih, pakaian, tempat perlindungan, bekalan makanan, keperluan kanak-kanak seperti susu formula, tepung gandum, lampin pakai buang dan selimut adalah sangat diperlukan," katanya.

Muslim Care Malaysia sebelum ini turut pernah membantu mangsa bencana dan perang di Syria, Indonesia, Pakistan, Iran, Iraq, Myanmar, Kemboja selain aktif membantu umat Islam Islam di Palestin sejak tahun 2009 .

Orang ramai yang mahu membantu Tabung Kemanusiaan Afghanistan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882 , Bank Islam 14014010147470 atau Bank CIMB 8604171675.

Orang ramai turut boleh menghubungi Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Mohd Johari Ismail di talian 0169978323 atau Exco Muslim Care Malaysia, Ahmad Safuan Ujar ditalian 0134886447.

Zulkifli Wahijan
Zulkifli Wahijan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 12:12 PM