BANTUAN kecemasan dari Muslim Care Malaysia (MCM) disalurkan kepada mangsa gempa bumi di Afghanistan. FOTO ihsan EWSSO
BANTUAN kecemasan dari Muslim Care Malaysia (MCM) disalurkan kepada mangsa gempa bumi di Afghanistan. FOTO ihsan EWSSO
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Tidak menunggu lama apabila Muslim Care Malaysia (MCM) menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertama yang pantas menghulurkan bantuan kepada ribuan mangsa gempa bumi di Afghanistan.

Dalam bencana besar berlaku Rabu lalu, seramai lebih 1,500 penduduk di dua wilayah di tenggara Afghanistan iaitu Paktika dan Khost terkorban, 2,000 cedera manakala ribuan lain kehilangan tempat tinggal.

Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya segera menubuhkan tabung kecemasan dan melakukan kutipan dana untuk disumbangkan kepada mangsa gempa di negara berkenaan.

Menurutnya, sebanyak RM42,000 bantuan kecemasan gempa bumi Afghanistan berjaya dikumpul dan diserahkan kepada wakil NGO Afghanistan, Ehsas Welfare and Social Services Organization (EWSSO) pada Ahad lalu.

"Bantuan awal itu segera digunakan untuk membeli bekalan makanan dan alatan kebersihan diri yang berjaya disumbangkan kepada mangsa-mangsa gempa di kawasan pedalaman.

"MCM akan menyalurkan tambahan RM100,000 lagi kepada EWSSO supaya dana itu dapat digunakan bagi membantu mangsa gempa bumi di negara miskin berkenaan.

"Sekecil mana sekalipun bantuan, namun ia besar maknanya kepada mangsa gempa yang juga saudara sesama Islam. Rakyat Malaysia yang bersimpati boleh bersedekah atau infaq menerusi akaun Muslim Care Malaysia (MCM) membabitkan Maybank 564490413882 , Bank Islam 14014010147470, Bank CIMB 8604171675 (Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia) dan Bank Rakyat 1101744599. Setiap slip sumbangan boleh dihantar kepada talian Hotline MCM 01150050035," katanya.

Sementara itu sukarelawan EWSSO, Abdul Rahim Ghafari berkata, bungkusan makanan dan bantuan disalurkan kepada mangsa gempa bumi sudah dihantar ke lokasi bencana.

Menurutnya, walaupun perlu melalui perjalanan jauh melebihi lima jam selain cabaran bentuk muka bumi berbukit bukau namun bantuan dibawa menggunakan lori dan pacuan empat roda itu berjaya disalurkan.

"Amat menyedihkan apabila hampir setiap keluarga ditemui memaklumkan kematian ahli keluarga masing-masing akibat gempa bumi itu. Ada yang kehilangan sehingga lapan ahli keluarga akibat dihempap dinding rumah.

"Walaupun pelbagai bantuan kecemasan termasuk dari NGO antarabangsa mula tiba namun apa yang utama kini adalah membina semua infrastruktur dan kehidupan mangsa semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 8:17 AM