Gagal berdepan tekanan kerja dan pelajaran ketika menuntut di institut pengajian tinggi kerap dijadikan alasan oleh golongan penagih terpelajar mengambil pelbagai dadah ‘penenang’.
Gagal berdepan tekanan kerja dan pelajaran ketika menuntut di institut pengajian tinggi kerap dijadikan alasan oleh golongan penagih terpelajar mengambil pelbagai dadah ‘penenang’.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Noor Hidayah Tanzizi


Kuala lumpur: Agak mengejutkan apabila seramai 1,079 penagih dadah ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) adalah kalangan penjawat awam berkhidmat di pelbagai agensi kerajaan.

Bilangan itu dianggap menggusarkan walaupun ia hanya membabitkan hanya satu peratus daripada keseluruhan 107, 781 penagih dadah ditahan sepanjang suku pertama tahun lalu.

Mengikut statistik diperolehi, kakitangan kerajaan di Selangor paling ramai ditahan membabitkan 170 individu diikuti Pahang (149), Perak (95), Sabah dan Terengganu masing-masing merekodkan 89 individu.

Golongan pekerja swasta dikesan terbabit dengan penyalahgunaan dadah membabitkan 32,569 individu.

Bilangan penagih ini mewakili 30 peratus dari keseluruhan penagih didominasi 4,833 penagih di Selangor, Kedah (4,138), Johor (3,463), Perak (3,328) dan Pahang (2,263).

Sumber AADK berkata, jumlah paling ramai terbabit dengan gejala penagih dadah dalam kalangan penganggur dan individu tiada pekerjaan membabitkan 39,404 individu.

"Selain itu golongan pekerjaan lain terbabit dengan dadah adalah individu bekerja sendiri 10,185, buruh (19,736) dan pekerja rencam atau sambilan (32,569).

"Turut tersenarai 482 pelajar dan penuntut yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah," katanya.

Harian Metro, semalam mendedahkan 487 ditahan menagih dadah kalangan individu memiliki ijazah, selain 22 individu pemegang ijazah sarjana serta doktor falsafah (PhD).

"Mengikut pecahan, tangkapan merangkumi sembilan penagih berkelulusan sarjana atau PhD di Selangor diikuti tiga penagih di Negeri Sembilan, dua penagih PhD di Kelantan, manakala masing-masing seorang penagih PhD di Kedah, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak.

"Manakala bagi golongan penagih memiliki ijazah, Selangor mencatat jumlah teramai iaitu 107 diikuti Johor (41), Sabah (35), Kedah dan Perak (33) dan Kelantan (31)," katanya.

Ketika ini AADK yakin mampu mengurangkan jumlah penagih dadah di Malaysia melalui pendekatan modul i-Pulih iaitu inisiatif penambahbaikan modul bagi membantu merawat penagih, bantu mengurangkan stigma masyarakat kepada bekas penyalahguna dadah dan meningkatkan keyakinan diri untuk membina kehidupan lebih bermakna.

Lalok untuk tenang, elak tekanan belajar

Gagal berdepan tekanan kerja dan pelajaran ketika menuntut di institut pengajian tinggi kerap dijadikan alasan oleh golongan penagih terpelajar mengambil pelbagai dadah 'penenang'.

Pengasas Support Groups Kepulihan Diari Survivor Suzaidy Sulaiman berkata, berdasarkan pengalamannya mendampingi' penagih ramai antaranya guru, doktor, pegawai bank, eksekutif berjawatan tinggi termasuk pegawai kerajaan.

Menurutnya, ada antara mereka bermula dengan sifat ingin tahu atau sekadar mencuba di peringkat awal sebelum terjebak lebih serius.

"Golongan ini bijak namun kurang pemahaman terhadap kesan dadah. Mereka ambil mudah terhadap mudarat jangka panjang dari sudut kesihatan dan emosi.

"Akibatnya mereka gagal kawal diri hingga akhirnya menjadi penagih dadah tegar yang merosakkan fokus serta masa depan," katanya,

Suzaidy yang memiliki pengalaman sebagai penagih dadah tegar 15 tahun sebelum pulih memberitahu ada antara penuntut universiti memberi alasan tidak sengaja ambil dadah kerana masalah pembelajaran dan hilang fokus.

"Sepanjang bergerak aktif membantu pemulihan golongan penagih, 70 peratus mahu dibantu dan menjalani program pemulihan adalah membabitkan golongan terpelajar ini.

"Golongan ini ada kesedaran dan faham kesan jangka panjang dadah pada kehidupan. Cuma ada kalanya ego dan jawatan tinggi dipegang membataskan proses pemulihan," katanya.

Beliau memberitahu menggunakan pendekatan support group (kumpulan sokongan) melalui perkongsian pakar dan ilmu kepulihan daripada penagihan yang sudah berjaya pulih.

"Kita tak mampu nak ubah mereka, tetapi mampu beri ilmu dan sokongan moral yang merangsang mereka untuk berubah," katanya.

Menurutnya, dia mula berubah pada 1999 ketika dimasukkan ke Pusat Serenti Sungai Besi secara sukarela.

"Saya akui pendekatan digunakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) amat lengkap bagi individu yang mahu kembali pulih.

"Saya tubuhkan Support Groups Recovery iaitu Diari Survivor kepulihan bertujuan berkongsi pengalaman kepada masyarakat dan pelajar," katanya.

Profesional terjebak sebelum kerja

Sebanyak 10 peratus individu yang menjalani rawatan di pusat pemulihan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) seluruh Semenanjung dalam kalangan profesional dan berpendidikan tinggi.

Timbalan Presiden Pengasih Hafizi Harun berkata, peratusan itu diperolehi berdasarkan sejumlah 200 pelatih berusia antara 21 hingga 35 tahun yang ditempatkan di tujuh pusat pemulihan Pengasih.

Menurutnya, kebanyakan golongan itu datang untuk menjalani pemulihan atas kerelaan sendiri selain ada antaranya didesak keluarga.

"Kami mampu tempatkan 200 klien (penagih) pada satu masa di tujuh pusat pemulihan kami di Semenanjung Malaysia dan majoriti klien berkerja dalam sektor swasta.

"Daripada jumlah itu, 10 peratus golongan profesional dan berpendidikan tinggi, Kebanyakan mereka pekerja sektor swasta namun ada pekerja sektor awam," katanya.

Katanya, berdasarkan kes dikendalikan pihaknya, kebanyakan golongan profesional mengambil dadah sebelum bekerja iaitu ketika mereka berada di kolej atau universiti.

"Mereka guna dadah untuk tngani tekanan belajar. Malah ada yang terjebak selepas menyertai aktiviti sosial di kelab hiburan," katanya.

Dalam pada itu Hafizi berkata, pihak berkuasa disaran merombak undang-undang berkaitan penyalahgunaan dadah di negara ini bagi melihat penagihan dadah sebagai penyakit memerlukan rawatan.

Katanya, jika seorang pengguna atau penagih dadah dilihat sebagai pesakit ia akan memudahkan golongan itu mendapatkan akses rawatan dan pemulihan.

"Jika kita guna kaedah hukum pengguna atau penagih dadah, ini menyebabkan mereka takut mendapatkan bantuan rawatan pemulihan.

"Pendekatan Pengasih berasaskan pembuktian kajian. Rawatan diberikan bersifat individu dan disesuaikan dengan keperluan khusus setiap klien," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 8:01 AM