TUAN Sutekno pada perasmian program Hari Apresiasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 di Subang Jaya.
TUAN Sutekno pada perasmian program Hari Apresiasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 di Subang Jaya.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Subang Jaya: Inisiatif Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menubuhkan kumpulan sistem sokongan antara faktor kejayaan mengekalkan kepulihan bekas penagih atau 'klien' yang mengikuti program rawatan dan pemulihan di agensi itu.

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, kumpulan sokongan itu membabitkan Ahli Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD), Ahli Lembaga Pelawat (ALP), Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan Mentor Kepulihan AADK dari seluruh negara.

Katanya, fungsi dan peranan kumpulan itu amat penting dalam memenuhi keperluan kepulihan seseorang individu dalam proses pemulihan.

"Kita sedia maklum, apabila kita ingin melakukan usaha memulihkan dan mengekalkan kepulihan kepada mereka, kita perlu menyediakan empat Modal Kepulihan seperti Modal Insan, Modal Sosial, Modal Ekonomi dan Modal Budaya atau Agama kepada setiap 'klien' kita.

"Justeru itu segala usaha diberikan kepada 'klien' adalah Modal Sosial yang juga antara komponen penting dalam Model i-Pulih AADK.

"Maka atas dasar itu, entiti seperti JKPD, ALP, PRS dan Mentor Kepulihan AADK diperkukuhkan dari semasa ke semasa dan menjadi Rakan Pintar paling akrab AADK. Tidak lengkaplah usaha kepulihan ini tanpa komitmen dan sokongan ini," katanya ketika merasmikan program Hari Apresiasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Tuan Sutekno berkata, program bertemakan Kebersamaan Pemangkin Pengekalan Kepulihan berkenaan diadakan adalah satu platform AADK dalam mengiktiraf dan menghargai jasa, pengorbanan, masa, tenaga dan wang ringgit dicurahkan dalam membantu dan menyokong usaha AADK merawat pulih klien di peringkat negeri, daerah mahupun Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).

"Saya difahamkan, 315 kakitangan terdiri daripada JKPD, ALP, PRS dan Mentor Kepulihan AADK hadir program ini.

"Ia jelas menunjukkan lambang kebersamaan, sokongan, komitmen dan kesepakatan dalam merealisasikan aspirasi bahawa kepulihan adalah tidak mustahil dicapai," ujarnya.

Sementara itu, beliau menambah, program itu menyediakan pelbagai pengisian menarik dan berinformasi selain berkongsi amalan terbaik dalam usaha memperkasakan komuniti bagi pengekalan kepulihan klien.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 7:01 AM