Oleh Ahmad Hasbi


Seremban: Usianya baru 16 tahun, namun remaja lelaki ini terpaksa berdikari dan tinggal sendirian di rumahnya selepas kehilangan bapa pada penghujung bulan lalu akibat serangan jantung.

Ibu saudaranya yang tinggal lima kilometer dari rumahnya sesekali menjenguk Muhammad Syakawie Abdullah, 16, bagi memastikan keadaan dan makan minum remaja itu.

Faridah Aziz, 51, berkata, remaja yang lebih mesra disapa Awie itu lebih selesa tinggal di rumah pusaka di Kampung Sungai Pupuh, Ampangan di sini, walaupun sudah diajak untuk tinggal bersama anaknya yang berusia 30 tahun.

"Awie diambil sebagai anak angkat dan dijaga adik saya, Allahyarham Azman Aziz, 50, sejak kecil. Ibu kandungnya menghilang dan kami sekeluarga tidak mengenalinya.

"Adik dan Awie tinggal berdua di rumah ini. Arwah bekerja sebagai pemandu lori dan kami jarang berhubung sebelum ini, namun pada 24 November lalu, kami dihubungi pemimpin masyarakat di sini, memaklumkan adik meninggal dunia," katanya ditemui, semalam.

Faridah berkata, Awie tidak sempat menghabiskan pendidikan formal apabila berhenti sekolah ketika di tingkatan tiga menyebabkan remaja itu agak ketinggalan berbanding rakan seusianya.

"Sebelum ini Awie bersekolah seperti biasa hingga tingkatan tiga dan tinggal di asrama. Namun, disebabkan sering dibuli dan bapanya yang bekerja sebagai pemandu lori tidak sempat menguruskannya, Awie berhenti sekolah.

"Adik saya membawanya ke mana-mana sambil memandu lori dan memanjakannya. Apabila arwah meninggal, Awie tidak mahu tinggal di rumah lain kerana lebih selesa di sini.

"Dia juga sering menziarahi kubur bapanya yang berdekatan rumah. Makan minumnya banyak dibantu jiran, manakala saya dan anak perempuan selalu ke sini untuk memeriksanya kerana risau jika berlaku apa-apa," katanya.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jiboi Baru, Abd Razak Mohd Idrus berkata, pihaknya akan menguruskan supaya remaja itu dapat menyambung pelajaran di kolej kemahiran.

"Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Abdul Malek sudah menyantuni remaja ini semalam (kelmarin) dan berjanji menguruskannya supaya dimasukkan ke Kolej Yayasan Negeri di Kuala Pilah memandangkan dia tercicir.

"Difahamkan, dia minat memasak jadi kami merancang dia mengambil bidang kulinari. Jadi sekurang-kurangnya dia boleh berdikari dan masa depannya lebih terjamin," katanya.

Ditanya mengapa dia tidak mahu berpindah, Awie berkata, rumah itu mempunyai banyak kenangan dan masih merindukan detik bersama arwah bapanya kerana mereka sangat rapat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 7:00 AM
MUHAMMAD Syakawie menumpang kasih Faridah selepas kematian ayah angkatnya dan  tinggal sebatang kara di Kampung Sungai Pupoh, Seremban. - Gambar NSTP/AZRUL EDHAM
MUHAMMAD Syakawie menumpang kasih Faridah selepas kematian ayah angkatnya dan tinggal sebatang kara di Kampung Sungai Pupoh, Seremban. - Gambar NSTP/AZRUL EDHAM