JENAZAH Muhammad Hafdan Qurbani dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugor. FOTO Mohd Rafi Mamat
JENAZAH Muhammad Hafdan Qurbani dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugor. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: "Saya masih terkejut dan bagaikan tidak percaya apabila mendapat berita anak saudara meninggal dunia dipukul rakannya hanya kerana RM4," kata Faridah Latif, 49.

Faridah adalah ibu saudara angkat kepada Muhammad Hafdan Qurbani Azhar, 11, yang terbunuh akibat dibelasah rakannya di surau sebuah asrama pusat kebajikan anak yatim dan miskin, di sini, semalam.

Muhammad Hafdan Qurbani dipercayai disepak, dicekik dan dihempas ke lantai oleh rakannya berusia 16 tahun sehingga tidak sedarkan diri dan meninggal dunia ketika dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Faridah berkata, arwah dihantar balik ke asrama itu beberapa hari lalu selepas pembukaan sesi persekolahan.

Menurutnya, arwah ditempatkan di asrama itu kira-kira setahun lalu dan hanya pulang ke rumah apabila cuti sekolah.

"Beberapa hari sebelum kembali ke asrama, arwah sempat membina pondok di atas pokok jering berhampiran rumahnya sebagai tempat bermain selain untuk memudahkan dia memetik buah pokok itu.

"Kini, pondok berkenaan hanya menjadi kenangan selepas arwah pergi buat selama-lamanya dengan cara yang sukar untuk diterima," katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Kampung Gelugor, Paya Bungor di sini, hari ini.

Menceritakan keperibadian arwah, Faridah menyifatkan Muhammad Hafdan Qurbani sebagai anak baik, taat dan menghormati orang yang lebih tua.

Faridah berkata, meskipun hubungannya dengan Muhammad Hafdan Qurbani hanya sebagai ibu saudara angkat, arwah dikenalinya memang tidak pernah melawan cakap.

"Mengenang sikap dan keperibadiannya sebagai seorang anak yang baik, saya cukup terkesan dan benar-benar terasa kehilangannya, apatah lagi ibu dan bapanya," katanya.

Sementara itu, penduduk kampung Muhammad Ikmal Hasbullah Ariffin, 23, mengakui terkejut mengetahui kematian arwah melalui kumpulan WhatsApp masjid.

"Walaupun tidak rapat, setiap kali bertemu dia (arwah) sering menegur. Saya selalu ke bengkel kenderaan bapanya dan kami sering berbual dan bergurau," katanya.

Jenayah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugor, hari ini.

Semalam, selepas kematian Muhammad Hafdan Qurbani, suspek ditahan reman selama tujuh hari hingga 27 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 6:08 PM