FARIDAH menemani abangnya Hamdan yang mengalami masalah mental dan tinggal di bawah khemah di dalam rumah pusaka yang sangat uzur di Kampung Sg Korok, Alor Biak. Foto STR/NOORAZURA ABDUL RAHMAN
FARIDAH menemani abangnya Hamdan yang mengalami masalah mental dan tinggal di bawah khemah di dalam rumah pusaka yang sangat uzur di Kampung Sg Korok, Alor Biak. Foto STR/NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Noorazura Abdul Rahman


AKIBAT kesempitan hidup, lelaki yang mengalami masalah mental terpaksa berteduh di rumah pusaka yang sangat daif menggunakan khemah sejak enam tahun lalu berikutan 70 peratus bumbung kediamannya bocor.

Malah adik perempuannya yang juga seorang ibu tunggal, Faridah Ahmad, 60, tidak mampu membaiki rumah pusaka berusia 70 tahun itu berikutan tidak mempunyai sumber pendapatan dan terpaksa bergantung kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

Faridah berkata, dia bimbang dengan keselamatan abangnya, Hamdan Ahmad, 63, yang terpaksa tinggal di dalam khemah di rumah pusaka yang daif itu.

"Abang saya juga terima wang bantuan JKM RM300 sebulan, tapi wang itu saya gunakan untuk membeli makanan dan ubat-ubatanya. Jika mahu baiki rumah ini, saya tidak mampu apatah lagi saya sendiri terpaksa bergantung dengan anak tunggal yang baru saja bekerja sebagai pemandu lori dan pendapatannya juga tidak menentu.

"Sudah enam tahun abang saya terpaksa duduk di bawah khemah, ini saja yang mampu saya lakukan supaya dia dapat berlindung daripada hujan dan panas, rumah ini juga hanya tunggu masa saja rebah kerana sudah dimakan anai-anai," katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Korok, Alor Biak, Jitra.

Faridah berkata, dia sangat berharap tempat tinggal abangnya lebih selesa memandangkan dia tidak mampu membawa abangnya tinggal bersama berikutan keadaan rumahnya juga sempit dan tidak mempunyai bilik tidur.

Katanya, setiap pagi adalah menjadi rutin dia dan anaknya Ridzwan Shafei, 35, menghantar makanan dan menukar pakaian abangnya yang semakin uzur selepas terbabit dalam kemalangan 10 tahun lalu.

FARIDAH menunjukkan atap rumah yang sudah bocor di rumah pusaka keluarganya di  Kampung Sg Korok, Alor Biak. Foto STR/NOORAZURA ABDUL RAHMAN
FARIDAH menunjukkan atap rumah yang sudah bocor di rumah pusaka keluarganya di Kampung Sg Korok, Alor Biak. Foto STR/NOORAZURA ABDUL RAHMAN

Sementara itu, nasib yang menimpa Faridah dan Hamdan mendapat perhatian daripada Sukarelawan Kebajikan Fakir Miskin yang bersedia membantu mengetengahkan permintaan Faridah kepada kerajaan negeri.

Presidennya, Leftenan TLDM (B) Baharin Baharom berkata, pihaknya akan membantu Faridah untuk mendapatkan bantuan rumah baharu ataupun membaik pulih rumah terbabit.

"Saya sendiri terkejut melihat keadaan Hamdan yang tinggal dan tidur di bawah khemah di dalam rumah, walaupun dia mempunyai masalah mental, namun sebagai manusia dia layak untuk tinggal di rumah yang lebih selesa.

"Pihak kami akan bawa perkara ini kepada kerajaan negeri secepat mungkin tetapi untuk permulaan kami akan memberi bantuan berbentuk makanan asas setiap bulan bagi meringankan beban Faridah yang menjaga abangnya sejak 30 tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 2:34 PM