Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang ibu tunggal yang menghidap kanser payudara tahap empat tabah menjaga empat anak termasuk seorang yang berstatus orang kurang upaya (OKU) autisme.

Ibu tunggal berkenaan, Faridah Mat Saleh, 51, yang tinggal di Kampung Senang di sini, dikesan menghidap kanser payudara itu sejak 10 tahun lalu di bahagian kanan sebelum ia sembuh dan kini dikesan pada payudara sebelah kiri sejak dua bulan lalu.

Walaupun menghidap penyakit itu, Faridah tetap tabah menjalani kehidupan demi empat anak termasuk seorang yang menghidap autisme, Ku Ahmad Adam Ku Hamzah, 7.

"Saya dikesan menghidap barah payudara tahap empat sejak dua bulan lalu dan kini masih menjalani rawatan.

"Bagi meneruskan kehidupan saya menjual kopi campuran dan asam boi yang dibungkus dalam plastik dan bekas sebelum diletakkan di enam kedai. Alhamdulillah, dengan hasil ini saya boleh memperoleh pendapatan sekitar RM500 sebulan yang digunakan untuk persekolahan empat anak.

"Selain itu, empat anak saya mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masing-masing RM150 seorang dengan jumlah keseluruhan RM600 sebulan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Senang di sini.

Menurutnya, walaupun mendapat bantuan dan hasil perniagaan namun ia tidak cukup kerana semua anak masih bersekolah memerlukan belanja yang banyak.

Katanya, dia juga perlukan wang untuk merawat penyakitnya itu, selain perlu ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan susulan anak bongsunya yang menghidap autisme dalam tempoh dua bulan sekali.

"Walaupun susah namun saya bersyukur kerana semua anak faham dengan kesukaran hidup kami dan mereka tidak pernah merungut.

"Buat masa ini, saya menumpang di rumah bekas suami kerana rumah pusaka di Kampung Chepa kian uzur dan sedang dibaik pulih di bahagian dapur oleh Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (Maik). Bekas suami tinggal di rumah pusaka peninggalan kedua ibu bapanya dan dia bagi saya serta anak-anak tinggal di rumahnya buat sementara waktu.

"Alhamdulillah, bekas suami juga turut bantu dalam persekolahan empat anak termasuk memberi kewangan," katanya.

Faridah berkata, dia perlu berdikari dan berusaha sendiri untuk meneruskan kehidupan memandangkan mereka sudah berpisah hampir lima tahun lalu.

"Saya harap ada pihak sudi bantu memberikan bantuan untuk saya mendapatkan modal bagi memperluaskan lagi perniagaan demi masa depan anak-anak, selain membaik pulih rumah saya yang uzur," katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh salurkan di akaun CIMB 7625355166 atas nama Faridah Mat Saleh atau boleh hubungi di talian 6019-462 2881.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 4:52 PM
Faridah bersama anaknya ditemui di rumahnya di Kampung Senang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Faridah bersama anaknya ditemui di rumahnya di Kampung Senang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR