HASSANUDIN (berdiri kanan) menyampaikan sumbangan kerusi roda untuk kegunaan Ahmad, hari ini. Foto ZULIATY ZULKIFFLI
HASSANUDIN (berdiri kanan) menyampaikan sumbangan kerusi roda untuk kegunaan Ahmad, hari ini. Foto ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


SEORANG isteri berdepan dugaan apabila bukan saja menjaga suaminya, Ahmad Yahya, 65, yang terlantar sakit akibat angin ahmar dan Parkinson, malah turut membesarkan dua daripada empat anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU).

Faridah Ali, 65, yang mempunyai masalah pendengaran mempunyai dua anak perempuan normal iaitu Adibah, 31, manakala seorang lagi anaknya, Azimah, 27, sudah berkahwin dan tinggal berasingan.

Dia kini gigih menjaga dua anaknya, Zamzuri, 36, dan Khairi, 33, yang dilahirkan OKU lembam selain menjaga suaminya yang terlantar sejak lebih sebulan lalu di rumah mereka di Kampung Alor Jawi, Alor Janggus, Alor Setar.

“Khairi boleh uruskan diri sendiri dan walaupun keadaannya seperti itu, namun dia kerap ke masjid menunaikan solat serta mendengar ceramah selain membantu saya menjaga bapanya.

“Namun, Zamzuri pula perlu dihidang makanan kerana dia tidak akan makan sendiri kecuali mandi dia buat sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Faridah berkata, dia kini bergantung harap dengan wang bantuan bulanan RM200 setiap seorang buat dua anak lelakinya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala suami pula memperoleh bantuan dari Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) RM300 sebulan.

Katanya, wang bantuan suaminya itu digunakan sepenuhnya untuk membeli lampin pakai buang.

“Pendapatan Adibah pula tidak menentu, tetapi sekadar cukup untuk menyara kami dan dirinya,” katanya.

Faridah berkata, suaminya dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada 3 November lalu dan dirujuk ke Hospital Lama Alor Setar selama sebulan kerana masalah kesihatan.

Katanya, bil rawatan hospital itu belum dijelaskan kerana mempunyai masalah kewangan.

“Kami perlukan bantuan kerusi roda untuk memudahkan suami bergerak di dalam rumah untuk ke bilik air dan sebagainya kerana sekarang saya cuma lap badannya disebabkan tidak berdaya untuk membawa dia mandi.

“Kalau suami masuk wad, saya dan Adibah akan bergilir-gilir menjaganya kerana perlu ada seorang yang duduk di rumah mengurusk anak-anak istimewa ini,” katanya.

Sementara itu, kesusahan keluarga terbabit mendapat simpati Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Hassanudin Samsuddin dan Pengarah Urusan 1 Mumtaz Event Management, Rohayati Ayob apabila menyerahkan sumbangan kerusi roda dan barangan keperluan harian, hari ini.

Oramai ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 152068635546 untuk membantu keluarga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 8:56 PM