AKSI Ramos (tengah) menembusi gawang Switzerland. FOTO EPA
AKSI Ramos (tengah) menembusi gawang Switzerland. FOTO EPA
Reuters

Lusail, Qatar: Goncalo Ramos menyinar pada penampilan sulung dalam kesebelasan utama di Piala Dunia selepas meledak hatrik ketika Portugal membelasah Switzerland 6-1 sekali gus membawa pasukannya ke suku akhir kali pertama dalam masa 16 tahun dan akan menentang Maghribi Sabtu ini.

Jurulatih Portugal, Fernando Santos meletakkan penjaring terbanyak sepanjang zaman negara itu, Cristiano Ronaldo di bangku simpanan awal pagi tadi.

Dia sebaliknya memberi kepercayaan kepada penyerang Benfica, Ramos mengetuai jentera serangan walaupun pemain berusia 21 tahun itu hanya tampil kali pertama dalam aksi persahabatan tiga hari sebelum bermula Piala Dunia.

Ramos hanya bermain 10 minit sebagai pemain gantian di Qatar tetapi dia menyerlah dengan prestasi menakjubkan untuk Portugal yang tidak bermasalah tanpa Ronaldo yang jaringan lewatnya selepas dimasukkan batal akibat ofsaid.

"Cristiano Ronaldo bercakap dengan saya dan semua orang dalam pasukan. Dia ketua kami dan selalu berusaha untuk membantu," kata Ramos selepas meledak hatrik pertama dalam kejohanan di Qatar.

"Saya tak tahu sama ada saya akan diturunkan dalam skuad utama sekali lagi. Terpulang kepada jurulatih. Saya perlu bekerja keras dan kita tunggu sahaja."

Selepas bermula hambar, aksi mula rancak apabila Ramos membuka tirai jaringan minit ke-17 selepas dia yang mendapat bola daripada Joao Felix merembat kencang ke penjuru gawang untuk meletakkan Portugal di depan.

Mereka menggandakan jaringan menerusi ketua pasukan Pepe apabila pemain berusia 39 tahun itu menanduk masuk sepakan sudut Bruno Fernandes.

Memasuki babak kedua, Portugal terus mengasak dan penjaga gol mereka, Yann Sommer bocor lagi minit ke-51 selepas hantaran Diogo Dalot ditolak dari dekat oleh Ramos.

"Kami tidak menunjukkan mentaliti seperti selalu kami bawa di atas padang," kata Sommer.

"Malam yang derita. Kami memberi terlalu banyak ruang kepad lawan. Dalam beberapa situasi saya juga tidak berapa bagus. Ini bukan caranya menentang lawan seperti itu."

Portugal menambah jaringan keempat minit ke-55 hasil serangan balas pantas yang disudahkan dengan rembatan kencang Raphael Guerreiro selepas mendapat hantaran Ramos.

Pertahanan Switzerland Manuel Akanji mendapatkan gol pasukannya ketika hampir memasuki satu jam perlawanan selepas dia yang tidak dikawal menolak bola masuk dari jarak dekat.

Tetapi Portugal terus lebih garang apabila Ramos melengkapkan hatriknya menerusi lambungan bijak yang melepasi jangkauan Sommer.

Selepas kemenangan dalam tangan, Santos memasukkan Ronaldo yang menggamatkan Stadium Lusail minit ke-74 namun gagal mencipta impak.

Portugal menambah derita Switzerland dengan jaringan keenam pada masa kecederaan apabila rembatan lencung pemain gantian, Leao menerjah jaring.

"Hari ini kami meminta maaf kepada rakyat Switzerland, ini bukan pretasi sebenar kami. Kami sangat kecewa," kata Xherdan Shaqiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 7:31 AM