FERNANDES (kiri) menjaringkan gol kelapan Portugal ketika membelasah Luxembourg - 9-0. FOTO REUTERS
FERNANDES (kiri) menjaringkan gol kelapan Portugal ketika membelasah Luxembourg - 9-0. FOTO REUTERS
AFP

Barcelona: Bruno Fernandes beraksi cemerlang membantu Portugal mencatat rekod kemenangan 9-0 ke atas Luxembourg, tanpa kehadiran penjaring terbanyak sepanjang zaman, Cristiano Ronaldo yang digantung perlawanan.

Anak buah Roberto Martinez kini menang semua enam perlawanan kelayakan Euro 2024 dengan menjaringkan 24 gol tanpa bolos dan ia adalah kemenangan terbesar pernah direkodkan negara berkenaan.

Portugal kini mendahului Kumpulan J dengan kelebihan lima mata mengatasi Slovakia di tempat kedua, selepas menewaskan pasukan itu di Bratislava, Jumaat lalu.

Luxembourg pula di tempat ketiga dan ketinggalan tiga mata di belakang Slovakia.

Fernandes yang juga perancang Manchester United dan menjaringkan gol kemenangan ke atas Slovakia, mengumpan tiga jaringan selain turut menjaringkan satu gol.

Goncalo Ramos, Diogo Jota dan Goncalo Inacio masing-masing menjaringkan dua gol manakala Ricardo Horta dan Joao Felix turut menemui sasaran.

Martinez yang menggantikan Fernando Santos selepas Piala Dunia Qatar 2022 kini memiliki rekod 100 peratus.

"Kami masih pada permulaan era baru bersama jurulatih baru dan kami masih cuba memahami serta melaksanakan idea jurulatih," kata Jota.

"Hari ini, kami menetapkan perlawanan rujukan (yang boleh dilihat) untuk masa depan."

Pemain pertahanan Sporting Lisbon, Inacio menanduk masuk gol pendahuluan tuan rumah pada minit ke-12 hasil hantaran Fernandes.

Penyerang Paris Saint-Germain, Ramos menjaringkan gol kedua lima minit kemudian selepas Fernandes mengasak untuk memenangi bola yang terlucut.

Penyerang berusia 22 tahun itu menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-33 iaitu jaringan keenamnya dalam lapan penampilan buat Portugal.

Inacio menanduk masuk gol kedua peribadi hasil hantaran lintang Fernandes sebelum rehat dan Jota menjaringkan gol kelima pasukannya selepas rehat, sekali lagi menerusi umpanan pemain tengah Red Devils itu.

Sebelum ini, Portugal membelasah Luxembourg 6-0 pada perlawanan pertama di Grand Duchy.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 8:09 AM