RONALDO bersama skuad Portugal menjalani latihan menjelang perlawanan menentang Maghribi. -FOTO Reuters
RONALDO bersama skuad Portugal menjalani latihan menjelang perlawanan menentang Maghribi. -FOTO Reuters
AFP

Doha: Jurulatih Portugal, Fernando Santos menangguh hasrat itu sudah bertahun tetapi akhirnya melakukannya juga apabila membuat keputusan dengan meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan.

Percaturan itu akhir membuahkan hasil berbaloi apabila Goncalo Ramos menjaringkan hatrik membelasah Switzerland dan mara ke suku akhir Piala Dunia menentang Maghribi Sabtu lalu.

Portugal kini meletakkan nama mereka sebagai pasukan pilihan di Piala Dunia dan dalam masa 90 minit mereka melenyapkan kritikan terhadap mutu permainan bola sepak yang dikatakan 'tidak memberi inspirasi."

Kesukaran terhadap keputusan Santos berpunca daripada keadaan sekeliling yang berkisar kepada Ronaldo dan kemungkinan beliau akan dikecam teruk bukannya kerana kekurangan alternatif atau bimbang pasukan itu akan bergelut susulan ketiadaannya.

Di atas padang Portugal mempunyai banyak pilihan untuk merampas takhta Ronaldo bermula daripada Ramos, pemain AC Milan, Rafael Leao dan pemain Atletico Madrid, Joao Felix.

Santos, 68, sehingga kini bertanggungjawab untuk menurunkan pemain terhebat Portugal, pemenang Ballon d'Or lima kali dan penjaring gol antarabangsa.

Jurulatih itu mengambil alih pada September 2014 selepas tersingkir teruk pada peringkat kumpulan di Brazil, menjuarai Euro 2016 sebelum kalah pada pusingan 16 terakhir di Russia empat tahun lalu di tangan Uruguay, yang dikalahkan mereka pada peringkat kumpulan kali ini.

Ronaldo bermula dalam setiap perlawanan Piala Dunia buat Portugal sejak terlepas aksi peringkat kumpulan menentang Mexico pada 2006 sebelum dia disisihkan ke bangku simpanan Selasa lalu.

Sekalipun pada perlawanan lain tanpanya Portugal membuktikan mereka boleh menanganinya atau lebih bagus, ia bagaikan terlalu sukar buat Santos untuk mengetepikan pemain berusia 37 tahun itu.

Ketika Portugal sudah memastikan tempat ke pusingan kalah mati, Ronaldo tetap bermula dalam kesebelasan utama menentang Korea Selatan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Santos kemudian menegaskan keputusan untuk merehatkan Ronaldo menentang Switzerland adalah disebabkan strategi bukannya alasan disiplin.

Kebergantungan terhadap Ronaldo - atau sekurang-kurangnya keengganan untuk mengetepikannya - menyebabkan Portugal merana dalam tempoh yang lama kerana mereka hilang dinamik di bahagian serangan, ketika semua usaha dilakukan untuk mengumpan kepadanya dan melakukan tugas bertahan yang tidak mampu dilakukannya.

"Itulah hasrat kami, apa yang kami mahukan," kata Santos selepas membelasah Switzerland.

"Kami mahukan pasukan yang bermain dengan tersusun, kami bermain dengan amat bagus."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 9:06 AM