Cristiano Ronaldo (kanan) berada di bangku simpanan ketika perlawanan berdepan Switzerland sementara jurulatih Portugal, Fernando Santos memerhatikan aksi pemainnya. FOTO Reuters
Cristiano Ronaldo (kanan) berada di bangku simpanan ketika perlawanan berdepan Switzerland sementara jurulatih Portugal, Fernando Santos memerhatikan aksi pemainnya. FOTO Reuters
AFP

Doha: Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) menafikan Cristiano Ronaldo mengancam meninggalkan skuad Piala Dunia selepas memulakan aksi sebagai pemain simpanan pada perlawanan menentang Switzerland.

Mengejutkan apabila penyerang berusia 37 tahun itu diketepikan pada pertembungan 16 terbaik pada Selasa dan digantikan dengan Goncalo Ramos yang meledak hatrik dalam kemenangan 6-1 itu.

Ronaldo dimasukkan sebagai pemain gantian tetapi laporan daripada penerbitan Portugal, Record berkata penyerang itu mengancam untuk meninggalkan pasukan dalam perbincangan tegang bersama jurulatihnya, Fernando Santos.

"Pihak FPF mengesahkan kapten Selecao, Cristiano Ronaldo, tidak pernah mengugut untuk meninggalkan skuad kebangsaan sepanjang berada di Qatar.

"Setiap hari Ronaldo mencipta rekod yang unik ketika beraksi bersama skuad kebangsaan dan demi negara, di mana ia perlu dihormati." kata persekutuan itu.

FPF berkata penampilan Ronaldo menentang Switzerland adalah demonstrasi lanjut mengenai komitmennya terhadap usaha itu.

Ronaldo adalah antara pemain Portugal yang memiliki kap penampilan terbanyak dan penjaring antarabangsa terbanyak lelaki sepanjang zaman.

Portugal berdepan Maghribi pada perlawanan suku akhir, Sabtu ini, dengan Ramos mungkin sekali lagi mendapat tempat dalam kesebelasan utama berbanding Ronaldo.

Bekas penyerang Manchester United dan pemenang Ballon d'Or sebanyak lima kali itu tidak menjalani latihan bersama pemain simpanan yang lain pada Rabu selepas perlawanan, sebaliknya berlatih di sesi gimnasium bersama pemain utama yang beraksi berdepan Switzerland.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 7:53 PM