GAYA Ramos menjaringkan gol pertama Portugal.
GAYA Ramos menjaringkan gol pertama Portugal.
AFP

Doha: Bintang muda Portugal Goncalo Ramos berkata, dia tidak pernah bermimpi tersenarai dalam kesebelasan utama di peringkat kalah mati Piala Dunia apatah lagi menjaringkan hatrik di kejohanan itu.

Penyerang berusia 21 tahun terbabit diberi kepercayaan menggantikan tempat pemenang lima kali Ballon d'Or, Cristiano Ronaldo dan membalasnya dengan cemerlang.

"Tidak langsung dalam mimpi saya tampil bersama barisan kesebelasan di peringkat kalah mati Piala Dunia dan menjaringkan tiga gol," katanya.

"Tetapi kami perlu fokus perlawanan ke satu perlawanan dan bersiap sedia untuk itu (aksi suku akhir menentang Maghribi). Keputusan ini tidak penting sekarang. Kami perlu berusaha yang terbaik pada aksi seterusnya."

Ramos baru berusia dua tahun ketika Ronaldo tampil kali pertama bersama Portugal dan selalu memperkatakan tentang idolanya berusia 37 tahun itu.

Pemain terbaik perlawanan di Stadium Lusail itu ditanya situasi dalam bilik persalinan dan reaksi Ronaldo terhadap barisan pemain pilihan Santos.

"Secara jujurnya tiada siapa dalam pasukan memperkatakannya. Cristiano sebagai kapten melakukan tugasnya, membantu dan bercakap dengan kami," katanya.

"Cristiano Ronaldo menjadi pemain contoh dan idola kepada orang lain. Saya juga meminati (Robert) Lewandowski dan (Zlatan) Ibrahimovic," tambahnya lagi.

Ramos hanya tampil kali keempat bersama skuad negaranya dan beraksi 10 minit dalam dua perlawanan peringkat kumpulan.

Dia beraksi kali pertama pada 17 November ketika aksi persahabatan Pra Piala Dunia menentang Nigeria selepas masuk sebagai pemain gantian minit ke-67 dan menjaringkan satu gol ketika Portugal menang 4-0.

Dilahirkan di Algarve, penyerang muda itu mula menyinar di Benfica musim ini selepas Darwin Nunez berpindah ke Liverpool dan menjaringkan 14 gol dalam 21 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 8:37 AM