KEAKRABAN mereka dalam filem Daddyku Gangster umpama keluarga.
KEAKRABAN mereka dalam filem Daddyku Gangster umpama keluarga.
Norhayati Nordin


FIGURA terkenal seperti Faizal Hussein, 55, dan Zul Huzaimy Marzuki, 44, antara pelakon lelaki 'otai' yang memberikan lakonan yang amat berkesan.

Beri apa saja watak sama ada baik atau jahat, pastinya mereka tidak akan menghampakan penonton. Sebagai pelakon berpengalaman, kedua-duanya adalah 'pakar'.

Terbaharu, Faizal dan Zul bersatu dalam filem Daddyku Gangster arahan Ismail Bob Hashim yang menemui penonton mulai 1 Disember depan. Filem bergenre aksi romantik ini dihasilkan pada 2020.

Akibat penularan Covid-19 selama dua tahun, baru sekarang filem menelan bajet RM2.5 juta terbitan D'Ayu Pictures Sdn Bhd ini berpeluang ditayangkan, sekali gus memberi peluang penonton melihat bagaimana Faizal dan Zul 'mengasuh' kanak-kanak.

Berbicara mengenai wataknya sebagai Karim, Faizal berkata, dia adalah rakan baik Ray (lakonan Zul Huzaimy) yang terbabit dalam kumpulan mencuri kereta mewah. Keakraban mereka berdua umpama keluarga.

"Jadi, apabila Ray berdepan masalah perlu menjaga dua anak saudara, Arisha dan Aidil selepas abangnya, Remy meninggal dunia, dari situ segala kisah bermula dan ia pasti menghiburkan penonton.

"Saya sendiri seronok dan santai sepanjang menjalani penggambaran filem ini yang boleh disifat padat dengan kasih sayang kekeluargaan. Saya dan Zul bersama-sama memainkan peranan kami dengan dua kanak-kanak.

"Semestinya menjadi cabaran buat kami juga apabila berlakon dengan kanak-kanak. Terutama masa bekerja itu perlu mengikut 'mood' dan kesediaan mereka. Contohnya kalau mereka nak tidur dan berehat, kita kena dahulukan," katanya.

DUA pelakon cilik, Angelica dan Arryyan.
DUA pelakon cilik, Angelica dan Arryyan.

Watak kanak-kanak itu dilakonkan Angelica Petra, 10, dan Arryyan Petra, 4.

Menurut Faizal yang pernah melonjak dengan filem Bunohan sebelum ini, bekerja dengan kanak-kanak di set penggambaran tidak boleh memaksa, sebaliknya kena pandai menarik hati dan minat mereka.

"Saya tidak ada masalah nak kerja dengan pelakon kanak-kanak kerana tahu cara nak melayan mereka. Sebab itu, ketika di set penggambaran, saya membawa bermacam jenis permainan untuk bina 'chemistry' bersama.

"Saya kena pastikan mereka berasa selesa, gembira dan rapat supaya apabila ada babak bersama, tidak menampakkan kejanggalan. Alhamdulillah, saya seronok berlakon dengan dua bakat cilik filem ini," katanya.

Kemahiran asas pelakon

Berada pada tahap 'berkaliber' untuk seorang pelakon tidak mudah, ia perlu melalui proses belajar dan menimba pengalaman. Malah, perlu dilengkapi juga dengan kemahiran asas untuk membuktikan bakat diri.

Justeru, sebagai 'senior prihatin' terhadap industri lakonan, Zul Huzaimy menasihatkan pelakon generasi baharu memperkuatkan kemahiran asas mereka jika mahu terus bertahan di arena seni ini.

Zul berkata, daripada pemerhatiannya mendapati ramai pelakon baharu tidak memiliki kemahiran asas seperti lesen memandu dan seni pertahanan diri bagi membuatkan lakonan mereka meninggalkan impak kepada penonton.

"Saya ambil contoh Tom Cruise, dia boleh berlawan, menerbangkan helikopter serta jet pejuang. Tapi, pelakon kita disuruh tunggang motosikal pun tak pandai. Begitu juga, apabila diminta memandu kereta, tak ada lesen pula.

"Tidak hanya itu, bagi pelakon beragama Islam, seharusnya tidak memandang remeh perkara asas seperti mengaji al-Quran. Apabila diminta mengaji ketika berlakon pun tidak pandai," katanya.

Menurut Zul yang dikenali dengan watak Spark dalam filem Remp-It, mengaji adalah asas wajib sebagai seorang yang beragama Islam.

Katanya, selain mengaji al-Quran, kena pandai juga dalam persilatan kerana dah tahu dua perkara ini, okay.

Justeru, Zul berkata, baginya dalam soal ini menghadiri kelas lakonan saja tidak cukup untuk mendala

mi ilmu semata-mata, namun pelakon yang baik itu, perlu keluar 'berjumpa' dunia sebenar untuk mendapatkan emosi yang tepat dalam lakonan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 6:00 AM