Pelakon, Jay Iswazir hadir pada malam tayangan filem Daddyku Gangster di TGV Sunway Velocity Mall. FOTO AZIAH AZMEE
Pelakon, Jay Iswazir hadir pada malam tayangan filem Daddyku Gangster di TGV Sunway Velocity Mall. FOTO AZIAH AZMEE
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Sinonim membawakan watak antagonis, pelakon Jay Iswazir menjelaskan perlu bijak bagi memberikan variasi setiap naskah yang diamanahkan kepadanya.

Jay menjelaskan, dia tidak jemu menjayakan watak jahat sebaliknya mewarnai setiap watak yang diberikan itu dengan kreativitinya sendiri.

"Jahat ada pelbagai jenis jahat, memang lazimnya saya sering membawakan watak antaagonis.

"Namun untuk naskah Daddyku Gangster ini, saya mencorakkan karakter itu sedikit unik bagi meninggalkan impak.

"Bukan apa, sering ditawarkan watak jahat, saya tidak mahu kelihatan sama saja. Jadi apabila diselitkan dengan elemen jenaka, lebih memberikan kesan kepada penonton," katanya.

Terdahulu, Jay ditemui ketika majlis pratonton filem Daddyku Gangster arahan Ismail Bob Hashim baru-baru ini.

Daddyku Gangster menampilkan kelainan berbanding filem gangster yang lain kerana mengetengahkan elemen kekeluargaan.

Daddyku Gangster mengisahkan tentang Ray, iaitu seorang ketua kumpulan kongsi gelap yang gemar mencuri kereta mewah yang diseludup masuk ke Malaysia.

Selain Jay, filem yang menelan kos pembikinan kira-kira RM2.5 juta itu turut menampilkan pelakon lain seperti Zul Huzaimy, Adeline Tsen, Faizal Hussein, Ridzuan Hashim, Zalif Sidek, Reen Rahim, Azri Iskandar, Vanidah Imran, Alief Irfan serta dua pelakon cilik hebat iaitu Angelica Petra, Alief Irfan dan Arryyan Petra.

Filem Daddyku Gangster akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 1 Disember ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 5:21 PM