Faizal dan isterinya, Suhaila. Foto dari Instagram Faizal Hussein.
Faizal dan isterinya, Suhaila. Foto dari Instagram Faizal Hussein.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon berkaliber, Faizal Hussein, 55, tidak pernah menghalang isterinya yang juga pelakon drama, Suhaila Sulaiman, 46, untuk terus aktif dalam karier lakonan sejak mereka berumah tangga, 18 tahun lalu.

Faizal berkata, isterinya itu yang lebih memilih untuk memberi fokus kepada keluarga dengan menjaga dirinya dan dua cahaya mata mereka, Fazryn Faizal, 17 dan Fazrick Faizal, 14.

"Saya tak pernahlah tak beri dia (isteri) berlakon lagi. Cuma, saya rasa dia yang lebih selesa menjaga anak-anak dan saya di rumah. Dia sendiri yang buat keputusan tidak mahu berlakon.

"Lagi pula, dia juga sudah bertudung. Jadi, dari segi watak itu agak terhad nak dilakonkan. Kalau nak berlakon watak jahat (antagonis) nanti, macam tak sesuai. Takkan dah pakai tudung, nak jadi jahat pula. Macam tak kena," katanya kepada Harian Metro.

Faizal berkata, dia sama sekali tidak menghalang isterinya berlakon, tetapi amat menghormati keputusan Suhaila yang memilih mahu memberi sepenuh perhatian menjaga keluarga mereka.

Faizal dan Suhaila berkahwin pada 2004. Suhaila yang aktif berlakon drama pada 1990-an, banyak membintangi drama Spektra yang disiar RTM ketika itu. Antaranya seperti, drama Sayang Puteri, Zon 606 dan banyak lagi.

Terdahulu, Faizal ditemui pada sesi fotografi filem Daddyku Gangster, baru-baru ini. Dalam filem itu dia yang melakonkan watak Karim, bergandingan bersama Zul Huzaimy serta dua bakat cilik adik-beradik, Angelica Petra, 10 dan Arryyan Petra, 4.

Filem Daddyku Gangster yang bergenre aksi komedi, menjalani penggambaran sekitar 2020 lalu dan akan menemui penonton di pawagam seluruh tanah air mulai 1 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 12:55 PM