Hafiz Ithnin


"Menjadi penari tradisional bukan sekadar penghibur, tetapi ia lebih daripada itu.

"Tidak keterlaluan untuk mengatakan penari tradisional adalah duta kecil bagi orang asing mengenali Malaysia lebih dekat," kata Ismadian Ismail, 40.

Dia yang mula berjinak-jinak dengan dunia tarian sejak sekolah menengah tidak menyangka situasi itu mendorongnya melanjutkan pengajian hingga peringkat sarjana dalam bidang tradisional di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Ismadian yang lebih mesra disapa Yan kini menjadi penyelaras program pusat sarjana di City University Malaysia dalam bidang seni tari, hakikatnya tidak terkecuali menerima persepsi bidang tarian tidak boleh dijadikan kerjaya.

Sebelum ini dia menjadi pensyarah sambilan di Aswara untuk teater tradisional makyung.

Katanya, ketika ingin menyambungkan pengajian di peringkat diploma dalam bidang itu, ibunya adalah insan paling menyokong pilihannya.

ISMADIAN( kanan) berbangga dapat mengangkat pelbagai warisan tarian tradisional Malaysia.
ISMADIAN( kanan) berbangga dapat mengangkat pelbagai warisan tarian tradisional Malaysia.

"Bagi yang tidak mengetahui mengenai bidang tarian ini mungkin mempunyai persepsi yang sama, tetapi mereka tidak tahu sebenarnya kerjaya kami setaraf bidang profesional yang lain.

"Bukan mudah mempelajari pelbagai tarian tradisional terutama dari Malaysia.

"Kita ada pelbagai kaum yang mempunyai jenis tarian tradisional masing-masing. Sebagai individu yang mendalami bidang ini kita perlu faham dari segi falsafah dan praktikal," katanya.

Tambahnya, memandangkan Malaysia mempunyai pelbagai jenis tarian tradisional, pelajar yang mempelajari ilmu itu secara formal perlu menguasainya.

"Dari segi falsafah kita perlu faham setiap tarian di negara ini mempunyai cerita tersendiri dan sejarahnya. Malah, gerakan dalam tarian sebenarnya sesuatu yang mencabar kerana jika tersilap ia akan mengubah penceritaan aslinya.

"Apabila kita memahami secara falsafah dan praktikal, sebenarnya lebih mudah untuk menjiwai sesuatu tarian tradisional itu ketika membuat persembahan," katanya.

Lebih menarik apabila memahami secara mendalam dan orang asing bertanyakan secara terperinci mengenai setiap langkah dilakukan, mereka yang mempunyai ilmu boleh bercerita bersandarkan fakta.

"Saya sendiri pernah melakukan persembahan di luar negara seperti United Kingdom, Singapura, Thailand, Filipina dan China.

"Kadangkala seusai membuat persembahan, ada penonton mendekati untuk bertanya secara terperinci mengenai tarian yang kita persembahkan. Di sini perlunya ilmu untuk bercerita kepada mereka," katanya.

MENJADI penari mampu mendalami pelbagai warisan kebudayaan di Malaysia.
MENJADI penari mampu mendalami pelbagai warisan kebudayaan di Malaysia.

Jelasnya, dunia tarian tradisional juga sebenarnya mampu mengeratkan hubungan antara negara kerana menerusi pertandingan antarabangsa, misalnya peserta dari pelbagai negara akan berkongsi secara praktikal dan falsafah warisan tarian tradisional yang mereka warisi.

"Di sini kita juga menjadi duta kecil kepada negara untuk mempersembahkan dan menceritakan keunikan warisan yang kita miliki kepada masyarakat penari antarabangsa khasnya.

"Peminat dunia tarian juga sebenarnya berminat mempelajari pelbagai jenis tarian yang Malaysia miliki seperti makyung, inang dan joget," katanya.

Bercerita mengenai cabaran sebagai penari katanya, selain menyerap jiwa sesebuah tarian itu ketika persembahan, dia juga perlu berhati-hati untuk mengalunkan langkah.

"Perkara yang tidak dapat saya lupakan adalah pada 2011 ketika membuat persembahan di hadapan penonton yang bakal menyalurkan dana dalam program tarian yang dilakukannya.

"Saya terjatuh ketika menari. Mujur saya dapat meneruskan persembahan dengan membuat 'perubahan' sedikit persembahan ketika jatuh dan mungkin mereka tidak perasan sebenarnya saya terjatuh. Sehingga kini sebenarnya saya cukup berhati-hati ketika menari," katanya.

TARIAN tradisional Malaysia semakin mendapat perhatian peminat tari dari negara asing.
TARIAN tradisional Malaysia semakin mendapat perhatian peminat tari dari negara asing.

Selain itu, Yan juga pernah membuat persembahan di hadapan pelbagai latar belakang penonton termasuk golongan istana.

"Apabila menari di hadapan golongan istana ini kita perlu memahami protokol dan mematuhinya. Jadi, sebenarnya membuat persembahan ini juga perlu memahami protokol dan etika. Ia bukan satu persembahan untuk hiburan semata-mata," katanya.

Kembali bercerita mengenai kerjaya sebagai penari, dia berkata, individu yang mempunyai kemahiran tarian juga sebenarnya mempunyai peluang kerjaya seperti menjadi pensyarah, koreografer dan jurulatih bebas.

"Malah, bagi mereka yang sudah mempunyai pengalaman dalam bidang tarian ini, tetapi berkerja dalam bidang lain boleh menjadikan bidang ini sebagai pendapatan sampingan.

"Meskipun budaya muzik dan tarian asing semakin berkembang di Malaysia, tetapi peminat tarian tradisional tidak kurang hebatnya.

"Kita boleh lihat banyak pertandingan dilaksanakan dalam negara ini dan jurulatih serta koreografer menjadi individu yang boleh membantu peserta tarian ini membuat persembahan dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 7:00 AM