SEMUA peserta bergambar kenangan selepas persembahan berakhir.
SEMUA peserta bergambar kenangan selepas persembahan berakhir.
Ridzuan Abdul Rahman


Gemalai tari yang diatur dalam setiap gerakan mempunyai kisah tersendiri. Dalam lenggok yang berseni, ada cerita mendalam cuba disampaikan.

Begitulah keindahan tarian tradisional ditampilkan dalam persembahan Koleksi Tari Serumpun yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sesuai dengan namanya, persembahan di bawah program Panggung Seni Tradisional 2017 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) ini menampilkan tarian yang mempunyai persamaan antara satu sama lain meskipun berbeza latar negara.

Malaysia adalah salah satu negara di bawah lingkungan pengaruh kebudayaan dan linguistik serumpun di Kepulauan Melayu.

Ia turut merangkumi Indonesia, Brunei dan Thailand. Jadi, bukan pelik atau janggal sekiranya terdapat beberapa persamaan dalam amalan seni budaya dan bahasa bagi negara serumpun ini.

ANTARA tarian yang ditampilkan.
ANTARA tarian yang ditampilkan.

Persembahan Koleksi Tari Serumpun ini menampilkan kumpulan kreatif Gabungan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fakulti Tari, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor (Pre-Zapin) yang diselaraskan oleh Nusantara Performing Arts Research Centre (NUSPARC).

Antara himpunan tari yang dipertontonkan adalah Asli Lenggang Patah 9, Zapin Brunei, Cinta Sayang, Dabus, Kuda Kepang, Jepin Suara Siam, Tari Tempurung dan Tari Nona Singapura.

Sambutan positif daripada peminat tempatan dan pelancong asing terhadap persembahan ini menjadi petanda kesenian tradisional berupaya menjadi produk pelancongan sekiranya diangkat pada tempat sewajarnya.

Selain menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab budaya ia juga dapat memupuk pemuliharaan dan pengekalan seni warisan daripada pupus ditelan zaman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 7:09 AM