DUA penari angkat tinggi martabat warisan seni tari yang bukan dilihat sekadar satu hiburan.
DUA penari angkat tinggi martabat warisan seni tari yang bukan dilihat sekadar satu hiburan.
Hafiz Ithnin


DUA figura ini mempunyai rasa cinta tinggi kepada budaya masyarakat tempatan yang diwariskan kepada mereka.

Malah, mengangkat tinggi martabat warisan seni tari yang bukan dilihat sekadar satu hiburan di hadapan khalayak semata-mata.

Bagi mereka, Malaysia mempunyai keunikan yang tiada tandingnya dari segi seni tari memandangkan negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa.

Penulis yang berkesempatan menemu bual kedua-duanya berasa begitu berbangga dilahirkan sebagai rakyat Malaysia kerana kepelbagaian kaum menjadikan kita saling mendalami budaya meskipun bukan dilahirkan dalam bangsa sama.

Ng Xinying

Bagi Ng Xinying, 34, dia kini menjadi dekan di Fakulti Tari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan Malaysia (Aswara), mula berkecimpung dalam dunia tarian seawal umur empat tahun.

Ketika itu dia didedahkan dengan tarian balet sehingga menginjak usia remaja. Melihat kepada keindahan seni tari, dia kemudian menyambung pengajian ke peringkat diploma pada 2007 hingga 2010. Kemudian meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang sama.

Jelasnya, ketika menuntut di Aswara dia didedahkan bukan sahaja tarian kontemporari, malah pelbagai tarian tradisional di Malaysia yang lain.

MEMPELAJARI dan memahami tarian tempatan menjadikan Xinying mencintai keunikan budaya Malaysia.
MEMPELAJARI dan memahami tarian tempatan menjadikan Xinying mencintai keunikan budaya Malaysia.

Dia dan rakan-rakan yang mengikuti pengajian dalam bidang berkenaan bukan sahaja perlu memahami ilmu dari segi falsafah sesebuah tarian, malah perlu tahu untuk menari.

"Ketika di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda, saya begitu berbangga kerana dapat mendalami pelbagai tarian di Malaysia dan 'memasuki' pelbagai budaya tempatan secara tidak langsung.

"Bagi seorang penari, kita perlu faham dari segi falsafah secara mendalam dalam setiap lenggok tari kerana setiap pergerakan mempunyai maksud tersendiri.

"Bermula dari situ saya berminat mendalami tarian klasik India, bharatanatyam," katanya.

XINYING mempunyai pendidikan tinggi dalam bidang tarian.
XINYING mempunyai pendidikan tinggi dalam bidang tarian.

Jelasnya yang turut mempunyai ijazah sarjana dalam bidang seni halus (tarian dan persembahan tari) dari Korea National University of Art, menarikan tarian India mempunyai cabaran tersendiri.

"Apabila menarikan tarian India, saya perlu memahami bunyi, pakaian, adab dan pastinya gerak langkah yang betul memandangkan ia mempunyai maksud tersirat dalam setiap langkah penari.

"Malah, saya juga perlu memahami alunan rentak yang dimainkan pemuzik supaya tidak kelihatan canggung apabila membuat persembahan.

"Tidak sekadar itu, pakaian juga kita perlu faham memandangkan ia adalah perkara yang wajib untuk berada seiring tarian," katanya.

Sepanjang Xinying menjadi penari pelbagai anugerah sudah diraih. Antaranya, kedudukan 10 terbaik dalam New Generation Malaysian Cultural Dancers pada 2017, tempat kedua dalam pertandingan Seoul International (Ketogeri Tarian Etnik) pada 2016 dan 2015, juara pertandingan tarian pada 2014, Nrityanjali pada 2013, Penari Wanita Terbaik Short + Sweet Dance Festival pada 2010.

Jelasnya, meskipun tarian bharatanatyam adalah minat mendalamnya, namun tarian tradisional lain dari bangsa Melayu, Cina dan dari Sabah dan Sarawak juga perlu dia fahami dan boleh ditarikannya.

"Seperti tarian masyarakat Melayu, zapin, joget dan inang, saya juga boleh menarikannya kerana semua tarian di Malaysia sebagai pelajar tarian kita perlu tahu.

"Apabila saya keluar negara, saya mendapati kita begitu kaya seni tari dan budaya berbanding dengan masyarakat luar. Perkara ini juga menjadikan ramai penari luar negara amat berminat mendalami tarian dan budaya di Malaysia," katanya.

Kishore Kumar Krishnan

Lelaki berusia 33 tahun ini mengakui sudah sebati dengan tarian India sejak kecil memandangkan ibunya adalah penari.

Namun, dia mula menjadi penari profesional pada 2019 dalam tarian bharatanatyam.

Dia juga pemilik ijazah sarjana muda tari dari Aswara dan kini turut bergelar pensyarah sambilan di pusat pengajian berkenaan dan menjadi artis bebas dalam tarian itu.

Menariknya, meskipun dibesarkan dengan ahli keluarga yang mempunyai bakat tarian, tetapi dia pada awalnya pemain bola sepak profesional bersama Brazillian Soccer Academy di Singapura.

KISHORE berbangga menjadi penari yang mampu menonjolkan identiti unik budaya Malaysia.
KISHORE berbangga menjadi penari yang mampu menonjolkan identiti unik budaya Malaysia.

Akhirnya dia memutuskan untuk menyambung pengajian dalam bidang tari di peringkat diploma di Aswara.

Kemudian melanjutkan pengajian pula ke peringkat ijazah sarjana muda di Western Australian Academy of Performing Arts (Waapa).

"Pada awalnya mengikuti pengajian tarian, saya agak terkejut kerana perlu mempelajari pelbagai seni tari tradisional di Malaysia. Kita begitu banyak jenis tarian dan sebagai pelajar perlu memahaminya dan menari.

"Dari rasa terkejut, ia bertukar teruja kerana saya dapat mempelajari pelbagai tarian daripada pelbagai kaum lain di Malaysia. Bagi saya penari di Malaysia begitu unik kerana kita mempunyai pelbagai pengetahuan dari segi budaya tari itu sendiri berbanding penari dari negara lain," katanya.

Katanya, meskipun pengkhususannya dalam bidang tari klasik India, dia tidak menafikan kesukaan dalam bidang bangsa lain yang sudah sebati dengan dirinya sebagai penari profesional dari Malaysia.

"Selain tarian klasik India, saya amat menyukai tarian zapin. Bagi saya apabila kita mengetahui tarian daripada bangsa lain di Malaysia, kita dapat mempelajari budaya mereka dengan lebih mendalam.

"Hal ini tidak berlaku kepada penari di luar negara kerana mereka mungkin mempunyai satu atau dua bangsa sahaja. Namun, di Malaysia kita terlalu banyak bangsa dan ia menjadikan penari kita unik dari segi pengetahuan dan seninya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 7:00 AM